Penswastaan Malaysia Airlines (MAS) merupakan pilihan terbaik untuk syarikat penerbangan nasional itu melaksanakan penyusunan semula utamanya, seperti yang dilakukan oleh Japan Airlines pada 2010.

Kenanga Research dalam nota penyelidikannya hari ini berkata bahawa dalam pasca penswastaan, MAS dijangka 'menjalankan perniagaan seperti biasa'.

Namun, firma penyelidikan itu menjangkakan MAS akan mengurangkan bilangan pekerja (memansuhkan kesatuan sekerja) serta menamatkan operasi ke laluan yang tidak menguntungkan, selain rundingan semula kontrak, untuk mencapai struktur yang lebih baik.

Kenanga Research berkata pelan penswastaan MAS tidak mengejutkan memandangkan langkah itu sudah dijangkakan sejak suku ketiga.

"Kami berpendapat bahawa harga tawaran pembayaran semula modal secara terpilih sebanyak 27 sen sesaham oleh Khazanah kepada pemegang saham minoriti, adalah berpatutan, berdasarkan harga tawaran 2.4 kali harga buku berbanding 11 sen nilai sesaham pada tahun kewangan 2014, mewakili 100 premium kepada wajaran industri.

"Oleh itu kami menasihatkan pemegang saham MAS supaya menerima tawaran Khazanah itu untuk membuka laluan kepada penswastaan. Ini berikutan rizabnya mungkin tidak mampu bertahan sehingga akhir tahun kewangan 2015 ekoran kerugian berterusan," katanya.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank berkata unjuran ke atas MAS membimbangkan berikutan syarikat penerbangan negara itu mengalami kerugian asas sejak 2009.

"Prestasi suku kedua akan datang dijangkakan lebih buruk, disebabkan impak tragedi MH370 (Mac 2014) akibat faktor muatan dan pulangan pelanggan yang semakin rendah.

"Nahas MH17 (Julai 2014) pula memburukkan lagi permintaan penumpang," katanya, dalam nota berasingan.

Selepas penswastaan, bank pelaburan itu menjangkakan MAS akan mengurangkan laluan jarak jauh - dengan MAS memanfaatkan Oneworld Alliance - dan menumpukan operasi ke atas rangkaian domestik dan serantau yang lebih dekat, selain mengurangkan jumlah pesawat dan pekerja.

"AsiaAsia X dijangkakan menjadi penerima manfaat penstrukturan MAS manakala yang akan rugi ialah AirAsia, MAHB dan Brahim. Namun, kami mengulangi unjuran positif ke atas prospek jangka panjang MAHB berdasarkan permintaan untuk perjalanan udara yang semakin meningkat," katanya.