KUALA LUMPUR: Permodalan pasaran aset digital mencapai paras tertinggi pada 2021, namun trend ini telah berubah arah berikutan ketidakpastian geopolitik, kenaikan kadar faedah dan tekanan inflasi pada 2022 tetapi senario ini hanya memberikan sedikit kesan kepada sistem kewangan Malaysia.

Permodalan pasaran aset digital mencapai paras tertinggi sebanyak US$3.1 trilion pada bulan November 2021 selepas mencatatkan kenaikan yang berterusan sejak bulan Jun 2020 dan menjelang bulan Disember 2022, permodalan pasaran aset digital berada pada US$830 bilion, menurun sebanyak 73 peratus berbanding dengan paras tertingginya.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 yang dikeluarkan hari ini berkata limpahan daripada pembalikan kripto baru-baru ini hanya memberikan sedikit kesan kepada sistem kewangan Malaysia.

"Pasaran aset digital di Malaysia kekal kecil berbanding dengan pasaran kewangan domestik serta hubung kait antara keduanya adalah terbatas.

"Aliran keluar deposit bersih kumulatif daripada bank-bank kepada empat bursa aset digital domestik yang dikawal selia hanya mewakili 0.6 peratus daripada jumlah deposit sistem perbankan untuk individu pada akhir bulan Disember 2022," kata BNM.

Minat bank untuk terlibat dalam aktiviti aset digital juga kebanyakannya masih pada peringkat kajian awal. Walau bagaimanapun, hubung kait yang semakin berkembang boleh meningkatkan risiko kestabilan kewangan, katanya.

Justeru, BNM akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dalam memantau perkembangan berhubung dengan aktiviti berkaitan aset digital di Malaysia.

"Kami akan terus berusaha serta mengimbangi risiko dan peluang yang berkaitan dengan aktiviti tersebut, demi kemajuan landskap perkhidmatan kewangan digital yang lebih memberangsangkan seperti yang dihasratkan dalam Pelan Sektor Kewangan.

-- BERNAMA