Undang-undang lebih tegas diperlukan bendung eksploitasi kanak-kanak dalam talian

Syerleena menyifatkan pendedahan itu sebagai "kejutan besar di peringkat nasional" sambil menegaskan kurang setahun selepas Ops Pedo 1.0 menumpaskan satu rangkaian besar CSAM, pihak berkuasa sekali lagi berdepan kes membimbangkan. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi untuk membendung peningkatan kes eksploitasi kanak-kanak dalam talian, sebaliknya memerlukan undang-undang lebih tegas, hukuman lebih berat, akauntabiliti lebih tinggi daripada platform teknologi serta penglibatan aktif ibu bapa, pendidik serta komuniti.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleen Abdul Rashid berkata, ia susulan pendedahan mengejutkan hasil Ops Pedo 2.0 yang sekali gus menekankan keperluan mendesak Malaysia untuk memperkukuh tindak balas perundangan, teknologi dan sosial terhadap bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).
Syerleena menyifatkan pendedahan itu sebagai "kejutan besar di peringkat nasional" sambil menegaskan bahawa kurang setahun selepas Ops Pedo 1.0 menumpaskan satu rangkaian besar CSAM, pihak berkuasa sekali lagi berdepan kes membimbangkan.
Terbaru, melibatkan 31 suspek termasuk kanak-kanak seawal usia 12 tahun yang dipercayai terperangkap dalam sindiket eksploitasi digital berskala besar.
Beliau berkata, insiden seumpama itu bukan lagi kejadian terpencil, sebaliknya mencerminkan betapa seriusnya kegiatan eksploitasi kanak-kanak yang kini berkembang menjadi industri menakutkan berasaskan keuntungan, yang beroperasi di sebalik aplikasi disulitkan, platform media sosial, storan awan dan dompet digital.
Beliau memuji tindakan tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam membanteras jenayah itu.
"Operasi bersepadu seperti ini membuktikan komitmen dan kepekaan tinggi agensi penguat kuasa negara dalam menangani antara ancaman dalam talian paling membimbang dan pesat berkembang," katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyokong usaha penguatkuasaan sedang dijalankan sambil mengingatkan bahawa eksploitasi kanak-kanak dalam talian bukan sekadar jenayah, tetapi perbuatan yang menafikan nilai kemanusiaan.
"Masa depan anak-anak kita sedang dipertaruhkan, dan kita semua mesti bertindak. Kita tidak boleh sekadar menjadi pemerhati. Kita mesti bersedia untuk melapor, mendidik dan melindungi," katanya.
PDRM dengan kerjasama MCMC berjaya menumpaskan satu sindiket terlibat dalam penghasilan dan pengedaran bahan penderaan seksual kanak-kanak dalam talian menerusi Ops Pedo 2.0 yang dijalankan pada 22 hingga 30 Sept lepas.
Operasi itu menyaksikan 31 individu ditahan hasil serbuan di 37 lokasi di seluruh negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


