IPOH: Perak sedang mempertimbangkan keperluan membentangkan belanjawan tambahan bagi tahun 2022.

Ia ekoran kejayaan kerajaan negeri mengutip hasil dengan surplus (lebihan) RM23.04 juta, tahun lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata surplus dicatatkan daripada RM998.46 juta hasil kutipan kerajaan negeri sepanjang tahun lalu, yang melebihi pencapaian kutipan hasil keseluruhan bagi tahun 2020 iaitu RM983.53 juta.

Katanya, perkara berkenaan sudah dibincangkan dalam mesyuarat Exco, dan dalam proses mengkaji serta meneliti sama ada terdapat keperluan berbuat demikian.

"Perkara ini sudah saya sebutkan ketika penggulungan perbahasan dalam sidang DUN lalu bahawa jika ada rezeki lebih di samping keperluan membuat belanjawan tambahan maka akan kita buat.

"Jika ada keperluan, InsyaAllah kita boleh adakan (pembentangan belanjawan tambahan) dalam sidang DUN yang terdekat," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2022 bersama penjawat awam Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Khamis.

Terdahulu dalam ucapannya Saarani berkata, penurunan dicatatkan bagi kutipan hasil enam bulan pertama tahun 2021 memaksa semakan semula dibuat terhadap perbelanjaan tahun lalu bagi mengelakkan defisit lebih besar 

"Prestasi kutipan hasil yang terus menurun membataskan keupayaan kerajaan negeri menyalurkan dana lebih besar bagi Belanjawan 2022 dengan menyaksikan rata-rata sektor atau jabatan mengalami pengurangan peruntukan.

"Bagaimanapun, trend peningkatan dilihat bermula pada bulan Oktober 2021 yang mana perkembangan positif berlaku selepas Perak mula beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.