KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan berusaha untuk memastikan bahawa dasar mengenai peralihan hijau mestilah adil dan menggalakkan kesaksamaan sosial dan ekonomi.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan di seluruh dunia sedang bergelut dengan cabaran baharu - mencapai keseimbangan di antara menyokong pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif, memastikan akses tenaga yang selamat dan boleh dipercayai, serta menggalakkan kemampanan alam sekitar.

"Adalah penting bagi kerajaan bekerjasama untuk menyelaraskan rangka kerja perundangan dan kawal selia bagi menggalakkan pelaburan.

"Miti komited untuk memacu usaha menarik lebih banyak pelaburan dalam kenderaan elektrik (EV) dan memenuhi sasaran nasional sebanyak 15 peratus bagi jumlah volum industri (TIV) untuk EV dan hibrid menjelang 2030 dan 38 peratus TIV menjelang 2040," katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian usaha sama (JV) antara Computer Forms Malaysia Bhd (CFM) dan Energy Absolute (EA) Public Company Ltd (PCL) Thailand di St Regis Kuala Lumpur pada Khamis.

Beliau juga berkata, pakatan itu menandakan perkongsian yang menjanjikan untuk memacu agenda kemampanan kedua-dua negara dalam sektor EV dan tenaga boleh diperbaharui (RE).

"Adalah penting bagi kerajaan bekerjasama untuk menyelaraskan rangka kerja perundangan dan kawal selia bagi menggalakkan pelaburan seperti usaha sama di antara CFM dan EA ini.

"Kombinasi RE dan menghijaukan sektor pengangkutan awam akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi inklusif yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara iaitu Thailand dan Malaysia," katanya.

Majlis menandatangani perjanjian itu mengesahkan pelaburan RM5 bilion untuk menubuhkan kilang pembuatan Malaysia oleh syarikat JV bagi mengendalikan projek EV dan RE menggunakan kecekapan teras kedua-dua syarikat, kata kenyataan itu.

Kedua-dua syarikat itu akan membentuk syarikat JV Energy Absolute Malaysia Sdn Bhd. Pelaburan bersama akan dipacu oleh pasukan baharu dari kedua-dua negara untuk menyepadukan penyelesaian tenaga bersih dan mobiliti bagi membantu syarikat menyahkarbon dengan berkesan.

"CFM dan EA merancang untuk mengeluarkan bateri Lithium-Ion dan melaburdalam Sistem Penyimpanan Tenaga (ESS) dan stesen pengecasan untuk menyokong ekosistem EVMalaysia." kata kenyataan itu.

Awal semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di laman Facebooknya berkata, syarikat JV itu akan membina kemudahan pembuatan EV khusus untuk sektor pengangkutan yang merangkumi semua mod pengangkutan elektrik - bas, bas sekolah, bot, motosikal, bateri EV, kereta api , kereta mobil elektrik - dengan nilai keseluruhan RM5 bilion.

-- BERNAMA