TASEK GELUGOR: Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) melalui anak syarikatnya Perda Ventures Incorporated Sdn Bhd (PVISB) pada Khamis melancarkan dua projek pembangunan bercampur di sini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) hampir RM1 bilion.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, projek pertama adalah Taman Ara Suria di atas tanah seluas 16.84 hektar dan projek kedua adalah Taman Ara Damai di atas tanah seluas 70 hektar.

Kedua-dua projek yang di bangunkan PVISB dengan harga rumah kediaman yang bakal ditawarkan nanti, bermula dari RM42,000.00 hingga RM350,000.00 mengikut jenis rumah.

"Saya difahamkan GDV kedua-dua projek ini hampir RM1 bilion dan ini merupakan usaha Perda bersama PVISB untuk menawarkan rumah mampu milik kepada orang ramai," katanya selepas melancarkan kedua projek ini, di sini, pada Khamis.

Katanya, Taman Ara Suria merupakan projek pembangunan bercampur yang terdiri daripada satu blok rumah pangsa kos rendah 15 tingkat yang menawarkan 174 unit kediaman, rumah teres satu tingkat sebanyak 386 unit serta kedai pejabat dua tingkat berjumlah 51 unit manakala Taman Ara Damai meliputi 1,450 unit rumah teres satu tingkat, 74 unit untuk rumah kembar satu tingkat, rumah bandaran kos rendah dua tingkat sebanyak 468 unit dan 80 unit kedai pejabat dua tingkat juga ditawarkan di taman ini.

"Taman Ara Suria dijangka siap pada hujung 2024 manakala Taman Ara Damai akan siap menjelang 2025," katanya.

Selain itu, Rubiah berkata, sehingga kini, Perda telah berjaya menyiapkan sebanyak 10,048 unit perumahan bercampur melalui 24 projek yang dibangunkan sendiri dan melalui empat projek yang dilaksanakan secara usahasama.

Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak 5,395 unit adalah rumah kos rendah dan kos terendah. - BERNAMA