UNIT Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri menyasarkan untuk membantu Malaysia muncul sebagai negara yang berdaya saing dan mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Untuk itu, satu sasaran tetap diperlukan, ketika negara meletakkan sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, kata Pemandu menerusi satu kenyataan hari ini.

Sasaran untuk menjadi negara berpendapatan tinggi telah ditetapkan oleh Bank Dunia yang mengklasifikasikan semua negara dengan Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita tertentu, tergolong dalam kumpulan negara “pendapatan tinggi”.

Ketika ini Bank Dunia menggunakan mata wang US$ sebagai mata wang standard bagi mengukur kumpulan negara berpendapatan tinggi ini.

Menjelang 2020, nilai penanda aras yang ditetapkan Pemandu ialah US$15,000.

Ini dipacu dengan penggunaan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) yang ditetapkan oleh Bank Dunia, di mana sasaran GNI menjelang 2020 telah ditetapkan pada US$15,000.

Ini telah dinyatakan sedari awal lagi menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh Pemandu.


Kurangnya kesamaan dalam pengagihan pendapatan

Sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi bukan merujuk kepada pendapatan semata-mata.

Keterangkuman dalam usaha menjana kekayaan adalah sama pentingnya dalam memastikan pendapatan per kapita US$15,000 menjelang 2020 turut dinikmati oleh seramai mungkin rakyat.

1. GDPI (Pendapatan KDNK berdasarkan pendapatan) untuk Malaysia

Menurut Jabatan Statistik Malaysia menerusi laporan Gross Domestic Product Income Approach 2010-2015, KDNK Malaysia berdasarkan pendapatan telah berkembang dengan baik.

Berdasarkan kepada GDPI, 34.8 peratus pendapatan disumbang oleh upah dan gaji, diikuti oleh 60.5 menerusi keuntungan perniagaan dan 4.7 peratus menerusi cukai dan subsidi.

2. Agihan pendapatan pendapatan yang sama

Seperti yang dinyatakan pada Rancangan Malaysia ke-10, 2011-2015, pengagihan pendapatan keseluruhan Malaysia telah meningkat secara berterusan, dengan jumlah pendapatan isi rumah bagi golongan bawah 40 peratus (B40) meningkat dari RM1,440 pada 2009 kepada RM2,537 pada 2014.

Tambahan pula, Pekali Gini telah berkurangan dari 0.441 pada 2009 kepada 0.401 pada 2014, mengatasi sasaran tahun 2015 iaitu 0.420. Ia hasil aktiviti yang telah dilaksanakan: https://www.pemandu.gov.my/transformation-unplugged-its-not-all-about-the-income/.

Jurang pendapatan dijangka dapat terus dikurangkan kepada 0.385 menjelang 2020 dan dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-11, 2016 – 2020.


Perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi

Seperti yang dinyatakan dalam laporan baru-baru ini, GNI negara menyaksikan Malaysia mencatatkan pendapatan US$10,750 per kapita.

Ia menandakan negara hanya kurang 15 peratus untuk mencapai penanda aras ekonomi berpendapatan tinggi.

Usaha yang bersungguh-sungguh juga telah dilakukan untuk memastikan pembangunan negara terus mampan, dengan negara meneruskan usaha mengembangkan ekonomi bersama pelaburan swasta menerusi pelaksanaan langkah-langkah konsolidasi fiskal.

Malaysia sehingga hari ini telah mencapai peningkatan dan Pemandu percaya Malaysia berada di landasan yang betul bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi.