KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bakal menganjurkan Forum Antarabangsa Pekerjaan Nasional (IPEF) 2021 yang menyasarkan untuk membantu orang ramai khususnya golongan majikan, pekerja dan pencari kerja dengan maklumat dan amalan terbaik bagi membina semula kerjaya dan menjamin kelangsungan hidup pasca pandemik COVID-19.

IPEF 2021 bertemakan ‘Reviving, Realigning & Rebuilding the Labour Market’ itu akan dianjurkan secara maya dengan menghimpunkan tiga program berbeza secara serentak bermula 6 hingga 9 September ini.

Tiga program dengan penyertaan secara percuma tersebut adalah Socso’s Regional Return to Work (RTW) DIGIMOS Symposium 2021 pada 6 hingga 7 September; International Public Employment Services Symposium (7-8 September) dan Ekspo Kerjaya MYFutureJobs (7-9 September).

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed berkata, sebagai sebuah agensi Kerajaan yang menerajui keselamatan sosial, Perkeso berperanan untuk mewujudkan perlindungan keselamatan sosial yang inklusif dengan memastikan tiada individu yang ketinggalan dalam menerima perlindungan serta perkhidmatan institusi tersebut.

“Keadaan pandemik semasa telah meningkatkan penglibatan tenaga buruh dalam sektor informal serta gig. Justeru, Perkeso telah memperluaskan lagi skop jaringan sosialnya kepada pekerja dari sektor ini bagi memastikan mereka juga turut menerima perlindungan yang sama seperti pekerja di sektor formal.

“Malah, situasi semasa memerlukan kami menilai semula konsep perlindungan serta sokongan perkhidmatan untuk individu bekerja sendiri yang memikul kedua-dua peranan sebagai majikan juga pekerja,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ekspo Kerjaya MYFutureJobs menawarkan lebih 25,100 kekosongan jawatan di pelbagai sektor ekonomi menerusi kerjasama Perkeso dan rakan strategik

Menurut Mohammed Azman, bertemakan Navigating Disability Management Through the New Normal: Return to Work Process Re-engineering, program Socso’s Regional RTW DIGIMOS Symposium 2021 akan dianjurkan selaras dengan usaha Perkeso untuk terus membantu golongan orang kurang upaya dalam mengharungi cabaran pandemik COVID-19.

“Selain daripada itu, penganjuran program International Public Employment Services Symposium (IPESS) pula adalah bagi mewujudkan satu platform perkongsian idea dan bertukar pandangan daripada tokoh-tokoh masyarakat dalam dan luar negara yang telah banyak menyumbang dalam menggerakkan pasaran buruh aktif.

“Tokoh-tokoh ini termasuklah pakar penggubal dasar bagi pasaran buruh serta ekonomi, pemain industri dah ahli perniagaan yang mempunyai maklumat mendalam mengenai tren pasaran kerja semasa,” katanya.

IPESS akan membincangkan pelbagai isu antaranya perkembangan industri, situasi ekonomi, pelaksanaan dasar pasaran buruh aktif, keperluan pasaran pasca COVID-19 serta peluang pekerjaan.

Tamba beliau, Perkeso bekerjasama secara strategik dengan majikan dari seluruh negara untuk menyediakan dan menawarkan lebih 25,100 kekosongan jawatan di pelbagai sektor ekonomi menerusi penganjuran Ekspo Kerjaya MYFutureJobs.

“Sejak program Penjana Kerjaya diperkenalkan pada Jun 2020 sehingga Ogos 2021, seramai 295,448 individu telah berjaya mendapat pekerjaan dengan bantuan Perkeso.

“Ini sekali gus membuktikan program PenjanaKerjaya yang telahpun dianjurkan lebih daripada setahun ini berjaya membantu untuk mengurangkan kadar pengganguran di Malaysia,” jelasnya.