KUALA LUMPUR: Industri Komunikasi dan Multimedia (C&M) menyumbang 7.9 peratus atau RM142.96 bilion daripada jumlah keseluruhan permodalan pasaran Bursa Malaysia iaitu sebanyak RM1,817.29 bilion pada 2020.

Ini berdasarkan Laporan Prestasi Industri (IPR) yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang turut menggariskan prospek industri C&M tersebut untuk tahun ini.

Namun, permodalan pasaran industri C&M susut sebanyak 0.7 peratus pada 2020 berbanding tahun sebelumnya akibat pandemik COVID-19.

"Tahun 2020 merupakan tempoh yang mencabar bagi industri C&M, berikutan pandemik COVID-19 yang mengakibatkan persekitaran pasaran terkesan oleh disruption (gangguan) terhadap permintaan serta kemunculan beberapa trend baharu.

"Di sebalik cabaran-cabaran yang dihadapi, industri C&M bagaimanapun kekal mampan, berikutan meningkatnya permintaan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan, hasil peningkatan transaksi dan pembelian dalam talian, hiburan, serta aktiviti belajar dan bekerja di rumah (WFH).

"Seperti dijangka, penggunaan teknologi dan kesalinghubungan meningkat dengan mendadak oleh individu dan isi rumah, serta menyumbang kepada sentimen pasaran positif terhadap sektor komunikasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya dalam satu kenyataan.

Pada tahun 2020, permodalan pasaran sektor telekomunikasi meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada RM134.42 billion.

Sementara itu, sektor pos dan kurier turut mencatatkan pertumbuhan yang ketara disebabkan oleh pertambahan jumlah bungkusan yang dihantar menerusi platform e-dagang.

Ini menambah keyakinan pelabur terhadap sektor ini, dengan peningkatan permodalan pasaran sebanyak 19.9 peratus kepada RM3.25 bilion pada tahun 2020.

Bursa Malaysia | Industri Komunikasi dan Multimedia sumbang 7.9 peratus

Sektor penyiaran terus berhadapan dengan tekanan pada tahun 2020 akibat sikap lebih berhati-hati pengiklan sepanjang tempoh pandemik.

Turut menyumbang, pembatalan beberapa acara sukan berstatus besar seperti Sukan Olimpik Tokyo dan Liga Europa UEFA, dengan saingan pemain Over the Top (OTT) yang turut meninggalkan kesan.

Faktor-faktor ini menyumbang kepada kemerosotan permodalan pasaran sebanyak 27.4 peratus kepada RM5.29 bilion pada tahun 2020.

Manakala, langganan segmen TV berbayar (Pay TV) meningkat sebanyak 3.1 peratus, daripada 7.12 juta langganan pada 2019 kepada 7.34 juta pada 2020, hasil peningkatan langganan khidmat Internet Protocol Television (IPTV).

Sehubungan itu, industri C&M kekal mampan pada tahun 2020 dalam berhadapan cabaran pandemik COVID-19 yang mewujudkan norma baharu dalam kehidupan masyarakat.