KUALA LUMPUR: Kim Hin Joo (Malaysia) Berhad, peneraju peruncit produk bayi, kanak-kanak dan bersalin di Malaysia, mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 51.89% kepada RM29.83 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 (Q4FY21) berbanding RM19.64 juta pada suku sama berakhir 31 Disember 2020 (Q4FY20).

Syarikat telah membuka satu cawangan Mothercare Experience Store baharu dan dua cawangan The Entertainer baharu pada tahun 2021, yang menyaksikan bilangan cawangan Mothercare meningkat kepada 21 dan The Entertainer sebanyak 4 cawangan di Malaysia, yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan jualan yang dicatatkan pada Q4FY21.

Kenaikan pendapatan itu turut menyokong keuntungan sebelum cukai (PBT) dan keuntungan selepas cukai (PAT) Kumpulan, yang mana masing-masing meningkat dengan ketara sebanyak 145.58% dan 111.26% kepada RM3.42 juta dan RM2.01 juta, berbanding RM1. 39 juta dan RM0.95 juta pada Q4FY20.

Sumbangan utama kepada aliran pendapatan bagi Q4FY21 adalah terutamanya diperoleh daripada segmen runcit, mewakili RM25.80 juta atau 86.48% daripada jumlah pendapatan. Sementara itu, segmen pengedaran Kumpulan menyumbang RM4.04 juta atau 13.52% daripada jumlah pendapatan.

Bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2021 (12MFY21), Kim Hin Joo melaporkan pendapatan sebanyak RM82.88 juta, meningkat sebanyak 3.07% daripada RM80.41 juta yang dicatatkan pada tempoh dua belas bulan berakhir 31 Disember 2020 (12MFY20).

Seterusnya, Syarikat mencatatkan PBT dan PAT masing-masing sebanyak RM6.48 juta dan RM4.29 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan Kim Hin Joo,  Pang Fu Wei  berkata, pihaknya gembira melihat peningkatan pada suku yang dikaji berikutan pembukaan semula ekonomi dengan pelonggaran sekatan COVID-19.

Pada 19 November 2021, Kim Hin Joo membuka Mothercare Experience Store pertama di Malaysia di Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya.

Kedai mega seluas 15,000 kaki persegi baharu itu menampilkan konsep pengalaman baharu, merangkumi trek ujian kereta sorong bayi, zon pemakaian bayi, perkhidmatan pembersihan peralatan bayi dan penasihat taska yang menjanjikan pengalaman visual dan sentuhan kepada pembeli yang akan membantu mereka membuat keputusan pembelian yang lebih baik.

“Sebagai tambahan kepada Mothercare Experience Store yang baharu, kami juga telah membuka dua cawangan tambahan The Entertainer Toy sepanjang tahun lalu.

''Justeru itu, kami menjangkakan untuk melihat sumbangan positif daripada perniagaan mainan kami pada tahun kewangan akan datang (FY2022),” ujar beliau.

Menurutnya, Kim Hin Joo sedang memberi tumpuan terhadap rombakan infrastruktur IT dan sistem kini berada di peringkat akhir pembangunannya.

‘’Ini meletakkan kami kembali ke landasan untuk beralih daripada peruncit berbilang saluran kepada peruncit saluran-omni.

‘’Dalam tempoh dua tahun akan datang, kami merancang untuk melancarkan konsep Experience Store kami ke seluruh cawangan utama kami di seluruh negara, yang merupakan satu lagi contoh bagaimana kami meneruskan strategi saluran omni kami untuk menambah baik semua titik sentuh pengguna kami,'' katanya.

Lembaga Pengarah pada 25 Februari 2022, telah mengisytiharkan pembayaran dividen interim satu peringkat yang dikecualikan cukai sebanyak 1.0 sen sesaham biasa berjumlah RM3,800,000 yang dikira berdasarkan modal terbitan Syarikat yang terdiri daripada 380,000,000 saham dan akan dibayar pada 12 April 2022. – DagangNews.com