KUALA LUMPUR: Penggunaan bahan api yang ditapis Malaysia dijangka melembap daripada unjuran dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan purata kira-kira 1.5 peratus mulai 2023 hingga 2032.

BMI, unit Fitch Solutions berkata walaupun ekonomi sedang bertambah baik dengan sokongan subsidi bahan api yang menyumbang kepada pemulihan dalam penggunaan bahan api, permintaan bahan api menghadapi tekanan menurun daripada harga minyak global yang tinggi termasuk inisiatif peralihan tenaga.

Ia meramalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar Malaysia akan mencatatkan 4.2 peratus pada 2023 dan seterusnya bertambah baik kepada 4.42 peratus menjelang 2024.

"Prospek jangka pendek untuk penggunaan bahan api menunjukkan peningkatan tetapi kadar pertumbuhan permintaan boleh menjadi perlahan dalam jangka panjang kerana kerajaan merancang untuk melaksanakan dasar yang akan mengurangkan subsidi bahan api dan mempercepatkan inisiatif peralihan tenaga," kata BMI dalam prospek laporan peralihan tenaga Malaysia pada Rabu.

Subsidi berterusan kerajaan kini telah menjadi isu kritikal dengan latar belakang kenaikan harga minyak serta gas global, memberikan tekanan yang ketara kepada kerajaan untuk menampung kenaikan kos.

"Walaupun kerajaan tidak mengumumkan langkah drastik bagi mengurangkan subsidi, kami boleh menjangkakan pengurangan sepenuhnya dalam subsidi bahan api untuk kumpulan berpendapatan tinggi. Langkah dasar sedemikian boleh mengekang pertumbuhan permintaan minyak pada masa hadapan kerana pemilikan kereta adalah lebih banyak dalam kalangan isi rumah berpendapatan tinggi.

"Kami menjangkakan langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi bahan api akan mendapat tentangan daripada industri, terutamanya entiti pembuatan yang banyak bergantung kepada subsidi dalam pengeluaran industri.

"Namun, kami beranggapan kerajaan akan tetap mengekalkan subsidi bahan api untuk perkhidmatan pengangkutan awam bagi mengurangkan kos pengangkutan," kata BMI.



Kadar Penembusan EV



BMI menganggarkan permintaan untuk kenderaan elektrik (EV) di Malaysia akan mengatasi permintaan kereta enjin pembakaran dalaman dalam tempoh unjuran 2023-2032.

Jumlah jualan EV diramalkan menokok empat kali ganda pada 2023, walaupun kadar penembusan EV negara (jualan EV sebagai peratusan daripada jumlah jualan kenderaan) akan kekal pada hanya 1.8 peratus.

Bagaimanapun, kadar pertumbuhan dalam elektrifikasi industri pengangkutan akan menghadapi cabaran yang berkaitan dengan kekurangan model EV mampu milik selain pengembangan infrastruktur pengecasan yang perlahan.

"Walaupun kerajaan Malaysia menangguhkan pelaksanaan program biodiesel B20 pada 2022, dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) menggambarkan bahawa ia akan mewujudkan mandat B30 untuk pengangkutan darat menjelang 2030," tambahnya lagi.

Memandangkan bahan mentah minyak sawit negara agak banyak, biodiesel menawarkan peluang besar bagi kepelbagaian, sekali gus, mengurangkan pergantungan terhadap bahan api fosil tradisional. Tidak seperti biodiesel, Malaysia pada masa ini tidak mempromosikan etanol untuk diadun dengan petrol.

Malaysia telah menjadi agak berdikari dalam bekalan bahan api ditapis sejak dua kilang penapisan hijau dibangunkan antara 2021 dan 2022. BMI berkata industri penapisan terus beroperasi pada kadar penggunaan yang lebih tinggi untuk menampung peluang eksport dan mengurangkan pergantungan kepada import.

"Dengan berlatarbelakangkan pembangunan Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) serta loji penapisan Tanjung Bin yang dikendalikan oleh Petronas dan Vitol yang berorientasikan eksport, analisis data perdagangan bahan api menunjukkan Malaysia sedang muncul sebagai negara perdagangan bahan api dua hala yang penting yang mengeksport dan mengimport besar. jumlah bahan api ditapis sejak 2021," katanya.

-- BERNAMA