Pengubahsuaian Bajet 2016 dijangka mengekalkan peruntukan bagi merancakkan pertumbuhan jangka panjang khususnya dalam pembangunan infrastruktur.

Menurut Ketua Penyelidik Ekonomi (Asean) Standard Chartered, Edward Lee Wee Kok beliau menjangkakan kerajaan akan mengekalkan konsolidasi fiskal selain meningkatkan bajet defisit.

"Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira kerajaan. Antaranya mengekalkan konsolidasi fiskal dan keperluan pertumbuhan jangka panjang terutama dalam infrastruktur selain hasil pendapatan melalui minyak dan pertumbuhan semasa yang perlahan iaitu sekitar 0.3 hingga 0.4 peratus.

"Jadi ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan sebenarnya," kata beliau yang ditemui pada taklimat unjuran ekonomi 2016 oleh Standard Chartered di sini pada Selasa.

Pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari ini yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilakukan bagi menyesuaikan persekitaran semasa yang dipengaruhi kejatuhan mendadak harga minyak mentah global serta situasi ekonomi dunia yang mencabar .

Penganalisis menjangkakan kerajaan akan mengambil langkah mengurangkan perbelanjaan bagi menampung penyusutan hasil pendapatan negara.