Skip to main content

Dunia

Lebih 1.5 juta jemaah luar negara tunai haji di tengah kebimbangan konflik Iran

Pilgrims pray in front of Kaaba on the day they perform Tawaf at the Grand Mosque, ahead of the annual hajj pilgrimage, in the holy city of Mecca, Saudi Arabia, May 24, 2026. REUTERS/Ibraheem Abu Mustafa
Pihak berkuasa Arab Saudi memaklumkan, sekitar 1.51 juta jemaah antarabangsa telah memasuki negara itu setakat minggu lalu, meningkat sekitar 11,000 berbanding tahun sebelumnya, di sebalik kebimbangan kemungkinan konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran kembali memuncak. - Gambar Reuters

MEKAH: Lebih 1.5 juta jemaah haji dari luar negara berhimpun di Arab Saudi bagi menunaikan ibadah haji tahun ini, meskipun wujud kebimbangan terhadap konflik yang masih berlanjutan di rantau tersebut.

Pihak berkuasa Arab Saudi memaklumkan, sekitar 1.51 juta jemaah antarabangsa telah memasuki negara itu setakat minggu lalu, meningkat sekitar 11,000 berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah itu dicatatkan walaupun terdapat kebimbangan berkaitan kemungkinan konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran kembali memuncak.

Sebelum gencatan senjata dilaksanakan bulan lalu, Iran melancarkan beberapa gelombang serangan peluru berpandu dan dron ke atas Arab Saudi serta negara Teluk lain sebagai tindak balas terhadap serangan udara oleh Amerika Syarikat dan Israel.

Dalam salah satu insiden pada 8 Mac, dua orang awam dilaporkan terbunuh dalam serangan Iran di bandar Al-Kharj, selain seorang anggota tentera Amerika Syarikat di pangkalan udara berhampiran turut terkorban.

Sebagai langkah keselamatan, Kementerian Pertahanan Arab Saudi turut menayangkan sistem pertahanan udara di sekitar kota suci Mekah, dengan menegaskan ia bertujuan melindungi jemaah dan memastikan keselamatan kawasan ibadah.

Di sebalik situasi geopolitik tegang, ramai jemaah tetap meneruskan ibadah dengan harapan konflik dapat diselesaikan secara damai.

Seorang jemaah dari Mesir, Mohammed Chahada berkata, konflik berkenaan memberi kesan global, namun berharap keamanan dapat dicapai.

“Tiada siapa mahukan peperangan atau kemusnahan,” katanya.

Dalam pada itu, sebahagian jemaah meluahkan rasa syukur dapat menunaikan ibadah haji tahun ini selepas berdepan pelbagai cabaran termasuk gangguan perjalanan udara dan peningkatan kos perjalanan.

Seorang jemaah dari Maghribi, Jreish Mohammed berkata, beliau menunggu peluang itu sejak puluhan tahun.

“Ia impian saya sejak 40 atau 50 tahun lalu, dan tahun ini akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Ibadah haji merupakan salah satu daripada lima Rukun Islam dan wajib ditunaikan sekali seumur hidup bagi umat Islam yang berkemampuan.

Pada hari pertama, jemaah menunaikan tawaf dengan mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali di Masjidil Haram sebelum bergerak ke Mina untuk bermalam.

Mereka kemudian dijadual menuju ke Padang Arafah, lokasi penting yang dianggap kemuncak ibadah haji, di mana Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhir baginda.

Selain faktor keselamatan, jemaah turut berdepan cabaran cuaca panas mencecah sekitar 45 darjah Celsius sepanjang berlangsungnya ibadah tahun ini. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement