BISNES
Petronas Chemicals catat kerugian bersih RM1.08 bilion pada suku kedua

Kerugian bersih berkenaan antaranya disebabkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih rendah.
KUALA LUMPUR: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM1.08 bilion pada suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2025 daripada keuntungan bersih RM777 juta pada suku kedua 2024.
Ringkasan AI
- Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) mencatatkan kerugian bersih RM1.08 bilion pada suku kedua 2025 akibat EBITDA rendah, pelupusan aset, kerugian tukaran mata wang dan peningkatan perbelanjaan kewangan.
- Pendapatan susut 16% kepada RM6.44 bilion, kadar penggunaan loji turun kepada 77% disebabkan gangguan bekalan dan kerja penyelenggaraan di beberapa fasiliti termasuk PC Fertiliser Kedah dan PC Ethylene.
- Walaupun pasaran mencabar, PCG tetap mengumumkan dividen interim sebanyak tiga sen sesaham bernilai RM240 juta yang akan dibayar pada 10 September 2025.
Pendapatan syarikat susut sebanyak 16 peratus kepada RM6.44 bilion berbanding RM7.73 bilion sebelum ini, disebabkan terutamanya oleh penurunan jumlah jualan, pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta harga produk yang lebih rendah.
PCG mencatatkan kadar penggunaan loji pada 77 peratus daripada 89 peratus pada suku yang sama sebelumnya disebabkan gangguan bekalan bahan mentah di PC Fertiliser Kedah serta peningkatan aktiviti pembaikan dan penyelenggaraan loji sepanjang suku tersebut yang mengakibatkan penurunan dalam jumlah pengeluaran.
Bagi tempoh enam bulan, PCG turut mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM1.10 bilion daripada keuntungan bersih RM1.45 bilion tahun lepas manakala pendapatan merosot sebanyak tujuh peratus kepada RM14.09 bilion berbanding RM15.23 bilion sebelumnya.
Penurunan pendapatan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh tukaran mata wang asing berikutan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS serta purata harga produk yang lebih rendah.
Sementara itu, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG Mazuin Ismail berkata suku kedua 2025 menyaksikan beberapa cabaran operasi sama ada dalaman mahupun luaran yang menjejaskan prestasi loji-loji syarikat.
Dari segi dalaman, katanya, syarikat menutup PC Ethylene secara proaktif bagi kerja pembaikan dinding tangki tanpa menjejaskan komitmennya kepada pelanggan.
"Kami turut mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan operasi di PC Aromatics berikutan keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan.
"Dari segi luaran, loji kami di PC Fertiliser Kedah terjejas akibat gangguan bekalan bahan suapan susulan insiden talian paip gas di Putra Heights. Gangguan ini diselesaikan dan operasi dipulihkan sepenuhnya pada Jun 2025," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mazuin, memandang ke hadapan, walaupun keadaan pasaran kekal mencabar, pihaknya yakin iaitu asas kukuh digabungkan dengan inisiatif-inisiatif yang giat dijalankan akan terus memperkukuhkan daya tahan syarikat.
PCG mengumumkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak tiga sen sesaham biasa, diumumkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025.
Jumlah dividen sebanyak RM240 juta, akan dibayar pada 10 Sept, 2025.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami