KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah mencapai persetujuan untuk menjual keseluruhan kepentingan 74 peratus dalam Engen Ltd kepada Vivo Energy, salah satu pengendali runcit bahan api Afrika terbesar dan sebahagian daripada syarikat tenaga multinasional Vitol.

"Selama hampir tiga dekad, Engen telah menjadi bahagian penting dalam portfolio perniagaan kumpulan.

"Pengiktirafan ke atas sejarah syarikat yang panjang serta cemerlang selama 140 tahun, kekuatan dan keupayaan Engen telah terus berkembang sebagai peneraju pasaran yang mampu meraih anugerah serta menjadi peneraju yang berfokuskan pelanggan di Afrika Selatan," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dalam satu kenyataan.

Keputusan Petronas untuk berundur serta membentuk semula portfolionya telah didorong oleh keutamaan perniagaan yang berkembang, namun, kumpulan itu menghargai potensi Engen dan mengakui bahawa ini adalah langkah yang perlu ke hadapan bagi mempercepatkan lagi pertumbuhannya.

Tengku Muhammad Taufik berkata dengan asas yang kukuh, Petronas percaya Vivo Energy bukan sahaja akan mengekalkan operasi yang mantap bagi Engen tetapi akan membantu mengemudi syarikat itu melalui fasa pertumbuhan seterusnya.

"Adalah tidak wajar jika Petronas untuk tidak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan Engen kami yang telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi sehingga membolehkan kami mencapai banyak kejayaan secara bersama, jadi kami berharap untuk melihat mereka maju dalam fasa pertumbuhan seterusnya," katanya.

Berdasarkan kenyataan itu, Petronas pertama kali memperoleh saham Engen pada 1996 dan menjadi pemegang saham majoriti menjelang 1998.

Engen terlibat dalam pemasaran petroleum, pelincir serta cecair khusus, bahan kimia dan perkhidmatan kemudahan peruncitan.

Syarikat itu kini mengendalikan jejak runcit terbesar dengan kira-kira 1,300 stesen servis di tujuh negara di sub-Sahara Afrika dan Kepulauan Lautan Hindi.

Phembani Group, rakan kongsi lama Petronas di Afrika dan pemegang saham "Broad Based Black Economic Empowerment (B-BBEE)", Engen akan kekal sebagai pemegang saham dalam Engen bersama Vivo Energy.

Katanya lagi, Engen akan terus melaksanakan strateginya serta kekal fokus untuk menetapkan kecemerlangan operasi dan komersial, kedua-duanya semasa tempoh pra-penyelesaian dan selepas kejayaan transaksi tersebut di bawah pengawasan Vivo Energy.

Petronas telah dinasihatkan oleh Morgan Stanley serta Rothschild and Co dan transaksi tersebut tertakluk kepada syarat-syarat lazim termasuk kelulusan kawal selia.

-- BERNAMA