Medan Tanjong Baram di Miri, Sarawak, yang beroperasi di bawah kontrak perkhidmatan risiko (RSC) dan dianggarkan mengeluarkan purata 2,000 tong minyak sehari, mencapai pengeluaran minyak pertamanya.

Menurut Petronas, medan itu, yang bermula pada 18 Ogos, 2015, adalah RSC kelima yang mencapai pengeluaran minyak selepas Berantai, kelompok Balai, kelompok Kapal Banang Meranti (KBM) dan Tembikai.

"Bagi medan Tanjong Baram, EnQuest Petroleum Development Malaysia Sdn Bhd berperanan sebagai pengendali secara perkongsian dengan Uzma Energy (Sarawak) Sdn Bhd," menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Medan itu terdiri daripada platform kecil dengan pengeluaran terikat kepada Kompleks Platform A Penggerudian Lutong Barat milik Petronas Carigali Sdn Bhd melalui saluran paip pengeluaran yang fleksibel, menurutnya.

Naib Presiden Pengurusan Petroleum Malaysia, Muhammad Zamri Jusoh, berkata pencapaian itu menandakan satu lagi kejayaan projek RSC.

Setakat ini, Petronas telah memberikan enam RSC, yang termasuk medan Berantai, kepada Petrofac dan Sapura Kencana Petroleum Bhd pada Januari 2011, dan kelompok Balai luar pesisir Sarawak kepada konsortium yang terdiri daripada Roc Oil Malaysia (Holdings) Sdn Bhd, Dialog Group Bhd dan E&P Venture Solutions Sdn Bhd pada Ogos 2011.