LABUAN: Banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini memerlukan pembiayaan yang besar untuk memulakan penerapan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam perniagaan mereka.

Sambil memohon geran padanan satu sama satu ESG untuk komuniti PKS berjumlah RM2 bilion, Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia (PKS Malaysia) Ding Hong Sing berkata insentif seumpama itu daripada kerajaan akan mempercepatkan perbelanjaan oleh PKS dalam ESG, terutamanya dalam kalangan pengeksport sektor pembuatan.

Beliau mencadangkan kerajaan menaikkan geran PKS sedia ada untuk automasi, pendigitalan dan pertanian pintar kepada RM2 bilion selain peruntukan RM40 bilion bagi pinjaman pada kadar faedah di bawah dua peratus untuk membantu PKS melaksanakan projek utama ini.

"Automasi dan pendigitalan amat penting untuk PKS hari ini kerana cabaran perniagaan seperti kekurangan pekerja asing, kenaikan gaji minimum dan keperluan untuk tenaga kerja berkemahiran tinggi mengurangkan produktiviti dan margin keuntungan.

"Teknologi pertanian pintar juga perlu untuk diterima pakai secara meluas oleh petani tempatan bagi membantu mengurangkan bil import makanan negara kita," katanya pada acara jerayawara Labuan untuk Anugerah Perniagaan Platinum 2023 (PBA2023) anjuran PKS Malaysia di sini pada Selasa.

Presiden Persatuan PKS Labuan (PKS Labuan) Jefery Tan berkata usahawan tempatan tanpa mengira saiz harus mendapat pengiktirafan atas dedikasi dan kerja keras mereka dengan menyertai PBA2023.

Beliau seterusnya mempelawa usahawan untuk menyertai PKS Labuan sebagai ahli sambil menjelaskan persatuan itu menyediakan peluang kepada pemilik perniagaan untuk mengembangkan aktiviti mereka melalui bengkel dan acara rangkaian, selain mendapatkan pandangan daripada pakar industri untuk memacu lagi perniagaan mereka.

Ketua Perbankan PKS Hong Leong Bank (HLB) Kevin Ng pula berkata institusi kewangan boleh bertindak sebagai rakan niaga yang dipercayai untuk membantu PKS dalam perjalanan mereka ke arah meluaskan capaian mereka di peringkat antarabangsa dengan memupuk persekitaran yang menggalakkan inovasi dan transformasi.

-- BERNAMA