KUALA LUMPUR: Kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia akan menyertai Pameran Perusahaan Kecil dan Sederhana Antarabangsa China (CISMEF) ke-19 yang akan berlangsung di Guangzhou, China dari 27-30 Jun ini.

Dalam satu kenyataan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata Malaysia akan menjadi negara hos bersama CISMEF tahun ini dalam usaha mempercepatkan akses pasaran PKS Malaysia di China.

Bagi acara tersebut, MATRADE akan bekerjasama dengan Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China, Biro CISMEF serta Quantum Atlas Sdn Bhd, ejen rasmi dan pengurus acara untuk Pavilion Malaysia di CISMEF 2024.

Lebih 40 negara menyertai acara itu tahun lepas, yang menarik lebih 100,000 pelawat awam dan perdagangan.

Peserta CISMEF 2023 memperoleh tawaran bernilai lebih RMB10 bilion dalam perolehan langsung, pembiayaan, kerjasama industri dan perjanjian pelaburan.

MATRADE berkata sektor yang terlibat di Pavilion Malaysia kelak termasuk pembuatan pintar, makanan dan minuman, fesyen serta produk dan perkhidmatan halal.

China terus menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut, meraih 17.1 peratus bahagian daripada jumlah perdagangan Malaysia pada 2023, bernilai RM450.84 bilion (US$98.80 bilion).

Sementara itu, eksport Malaysia ke China meningkat sebanyak 98.07 peratus dalam tempoh 10 tahun yang lepas.

-- BERNAMA