Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempelawa lebih ramai pelabur India memanfaatkan kedudukan strategik Malaysia untuk mengukuhkan kehadiran mereka di rantau ASEAN dan melepasinya.

Beliau berkata penyelesaian Rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dalam tempoh terdekat akan menjadikan Malaysia lokasi ideal untuk mereka, sama ada mewujudkan pertubuhan serantau atau menggunakan negara ini sebagai gerbang untuk menembusi pasaran ASEAN, ekonomi ketujuh terbesar di dunia.

Bercakap pada rundingan meja bulat interaksi bersama Dewan Perniagaan dan Industri India Selatan di sini, Perdana Menteri berkata berdasarkan ekonomi Malaysia yang pelbagai, asas pembuatan yang kukuh, infrastruktur pembangunan dan perhubungan yang maju yang memenuhi standard antarabangsa, wujud potensi besar untuk meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara.

"Negara kami boleh menjadi pintu masuk anda untuk ke ASEAN dan melepasinya. Saya mengajak anda semua untuk memanfaatkan pelbagai peluang yang ditawarkan oleh Malaysia," kata Najib yang tiba di ibu negeri Tamil Nadu ini pada Khamis bagi memulakan lawatan rasmi enam hari ke India.

Perbincangan hari ini dianjurkan oleh Persatuan Dewan Perniagaan dan Industri India Malaysia (MAICCI).

-- BERNAMA