Skip to main content

Bisnes

PMKS Bumiputera digesa percepat pendigital, ESG

Sumber: Astro AWANI
Secara keseluruhannya, gabungan adaptasi teknologi, pematuhan ESG, sokongan pembiayaan dan bimbingan berstruktur dilihat sebagai pemangkin utama dalam memastikan kelangsungan serta pertumbuhan mampan PKS di Malaysia.

KUALA LUMPUR: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam kalangan Bumiputera di Malaysia digesa mempercepatkan adaptasi teknologi dan pendigitalan dalam operasi perniagaan bagi memastikan daya saing kekal relevan dalam pasaran semasa yang semakin mencabar.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Datuk Nainy berkata, perubahan minda dalam kalangan usahawan amat penting, khususnya bagi mereka yang terlibat dalam program pembangunan seperti inisiatif Bumiputera Rapid Acceleration and Value Enhancement (Brave)di bawah PUTERA35.

Advertisement

Menurut beliau, perniagaan yang gagal beralih kepada pendigitalan berisiko ketinggalan dari segi keuntungan serta kecekapan pengurusan.

“Jika perniagaan tidak didigitalisasikan, mereka akan ketinggalan, bukan sahaja dari sudut keuntungan, malah dari aspek pengurusan yang lebih sistematik,” katanya.

Selain itu, Rizal turut menekankan kepentingan adaptasi prinsip ESG (Environmental, Social and Governance) yang kini menjadi keperluan utama dalam rantaian bekalan global. Jelasnya, syarikat multinasional dan organisasi antarabangsa semakin menuntut laporan pendedahan ESG daripada pembekal sebagai syarat kerjasama.

“Elemen ESG ini sangat penting kerana pembeli besar di peringkat antarabangsa memerlukan laporan ESG sebelum memilih rakan pembekal atau penyedia perkhidmatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Doople Tech Malaysia, TS. Idzat Naqeuddin menegaskan bahawa pembangunan usahawan bukan hanya bergantung kepada latihan semata-mata, sebaliknya memerlukan sistem bimbingan (mentorship) yang menyeluruh dan berstruktur.

Katanya, program bimbingan yang efektif perlu merangkumi perancangan kewangan yang rapi serta sokongan berterusan bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

Mentorship bukan sekadar kelas atau bengkel, tetapi perlu ada sistem dan perancangan kewangan yang jelas untuk membantu usahawan berkembang,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa akses kepada pendanaan merupakan faktor kritikal bagi PKS, memandangkan kebanyakan syarikat berdepan kekangan aliran tunai yang ketat.

“Pendanaan sangat penting untuk memastikan syarikat mempunyai ‘cash flow’ yang stabil dan mampu berkembang. Tanpa sokongan kewangan, sukar untuk mereka pergi lebih jauh,” jelasnya.

Selain itu, Idzat menekankan kepentingan jaringan strategik dalam membantu PKS menembusi pasaran lebih luas, termasuk kerjasama dengan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional.

Menurutnya, jaringan ini mampu membuka peluang kepada syarikat kecil untuk berkembang menjadi pemain industri yang lebih besar dan berdaya saing.

Inisiatif seperti program Brave di bawah PUTERA35 dilihat sebagai platform penting dalam memperkasa usahawan Bumiputera dengan memberi penekanan kepada pendigitalan, ESG, akses pembiayaan serta pembinaan rangkaian strategik.

Secara keseluruhannya, gabungan adaptasi teknologi, pematuhan ESG, sokongan pembiayaan dan bimbingan berstruktur dilihat sebagai pemangkin utama dalam memastikan kelangsungan serta pertumbuhan mampan PKS di Malaysia.

 

 

Must Watch Video