Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.70 sen seunit bagi Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) untuk tahun kewangan berakhir 30 Sept, 2013.

Pengagihan pendapatan keempat itu merupakan peningkatan sebanyak 0.10 sen seunit berbanding 6.60 sen seunit yang diumumkan tahun lepas.

Pengerusinya Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata agihan pendapatan itu melibatkan pembayaran sebanyak RM593.06 juta, peningkatan 30.9 peratus berbanding pembayaran jumlah tahun sebelumnya sebanyak RM453.03

"Jumlah pembayaran tersebut memanfaatkan seramai 365,355 pemegang unit yang telah melanggan sejumlah 9.28 bilion unit AS1M," katanya semasa mengumumkan agihan pendapatan itu.

Turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Tan Sri Hamad Kama Piah.

Ahmad Sarji berkata sehingga 16 Sept, AS1M mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM723.93 juta, dengan keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM405.99 juta atau 56.1 peratus manakala baki RM128.15 juta atau 17.7 peratus lagi diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan.

"Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat pula menyumbang sebanyak RM189.79 juta atau 26.2 peratus daripada pendapatan kasar," katanya.

Beliau berkata semua pengagihan pendapatan akan dikreditkan secara automatik ke akaun pemegang unit pada 1 Okt.

Pengiraan pengagihan pendapatan AS1M adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana, katanya.

Ahmad Sarji berkata bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan, semua urus niaga AS1M di pejabat-pejabat dan ejen-ejen ASNB akan ditangguhkan mulai 24 Sept sehingga 30 Sept.

"Para pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan AS1M masing-masing di pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 Okt apabila urus niaga dibuka seperti biasa," katanya.

AS1M merupakan dana harga tetap dengan saiz 10 bilion unit dengan 50 peratus saiz yang diluluskan dibuka untuk pelabur Bumiputera, 30 peratus diperuntukkan kepada kaum Cina, 15 peratus untuk kaum India dan selebihnya untuk rakyat Malaysia yang lain.