Satu kajian yang dilakukan oleh GlobalWebIndex menunjukkan bahawa aplikasi WeChat telah mengatasi populariti aplikasi WhatsApp, Facebook Messenger, Twitter, Skype, dan Instagram secara global. Ia kini berada pada kedudukan kelima dalam senarai aplikasi yang paling banyak digunakan di dunia.

WeChat dimuat turun dalam 27% dalam telefon pintar di dunia, manakala Facebook Messenger, Skype dan Twitter berkongsi 22% setiap satu; WhatsApp di tangga kesembilan pada 17%, dan Instagram menyusul di tangga ke sepuluh pada 11%. Aplikasi Google Maps di tangga pertama dengan kadar 54%.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, WeChat telah meledak apabila lebih 70 juta pengguna berdaftar di luar China, sebagai tambahan kepada lebih daripada 300 juta akaun pengguna berdaftar di negara itu di bawah nama label Weixin.

WeChat juga merupakan aplikasi yang pertama di dunia melancarkan ciri 'Hold To Talk'. Dengan sentuhan mudah pada skrin, pengguna boleh merakam dan menghantar mesej suara kepada rakan-rakan dan kenalan dari mana-mana di dunia. Ciri ini mula diperkenalkan pada Januari 2011.

WeChat Global baru sahaja mengumumkan versi 5.0 terbaru untuk iPhone, dengan menambah kemudahan pembayaran dalam talian dan tambahan ciri bagi menawarkan pengalaman penggunaan yang meluas.

Untuk maklumat lanjut mengenai populariti global WeChat, sila layari http://mashable.com/2013/08/05/most-used-smartphone-apps/