Pos Malaysia Bhd menyasarkan untuk menguruskan 200,000 kilogram kiriman bagasi jemaah Malaysia untuk musim haji tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Operasi PosLaju Ahmad Najmi Mahfodz, perkhidmatan tersebut disediakan bermula 27 Ogos lepas sehingga 7 Nov.

Katanya selain kiriman bagasi, Pos Malaysia turut mengurus perkhidmatan penghantaran kira-kira 15,000 botol air zam-zam setiap tahun.

Pos Malaysia menawarkan perkhidmatan penghantaran bagasi jemaah haji Malaysia sejak 1998.

"Ia bukan satu perniagaan, tetapi lebih kepada perkhidmatan kepada masyarakat untuk kemudahan jemaah haji," katanya kepada Bernama.

Ahmad Najmi berkata meskipun kuota haji diturunkan, namun jumlah muatan yang dihantar ke Malaysia bertambah setiap tahun, seiring dengan peningkatan taraf hidup rakyat.

Setiap bagasi yang dihantar ke Malaysia melalui Pos Malaysia akan diserahkan kepada penerima dalam tempoh tujuh hingga 14 hari daripada tarikh pengeposan.

Tahun ini, Pos Malaysia menghantar 35 petugas yang ditempatkan di lebih 10 lokasi sekitar Makkah dan Madinah.

Petugas ini mudah dikenali kerana memakai pakaian seragam korporat Pos Malaysia atau kemeja-t tertera logo Pos Malaysia atau Pos Laju, kata Ahmad Najmi.

Beliau berkata Pos Malaysia menawarkan perkhidmatan pengeposan tersebut pada harga yang berpatutan.

"Untuk penghantaran bagasi atau bungkusan, kadarnya ialah Saudi Riyal (SR)14 bagi setiap kilogram untuk Semenanjung Malaysia dan SR19 sekilogram untuk Sabah dan Sarawak.

"Kadar untuk sebotol air zam zam bersaiz 10 liter pula sebanyak SR115 seunit bagi Semenanjung Malaysia dan SR135 seunit untuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Kata Ahmad Najmi cara pembayaran juga fleksibel.

Jemaah boleh memilih untuk membayar secara tunai di Arab Saudi atau bayaran semasa menerima bagasi di tanah air.

Beliau berkata Pos Malaysia dapat memberikan perkhidmatan terbaik menerusi jaringan lebih seribu pusat, 700 pejabat pos, 200 pejabat pos mini, 70 pos laju dan 18,000 pekerja di seluruh negara.

"Perkhidmatan Pos Malaysia juga terjamin. Setiap pengeposan tercatat nombor rujukan kod untuk semakan status serahan yang boleh dilakukan di www.pos.com.my.

"Sekiranya berlaku kerosakan atau kehilangan pada kandungan bagasi, pihak Pos Malaysia juga akan membayar ganti rugi berdasarkan kadar pampasan SR30 bagi setiap kilogram," katanya.

Pampasan tertakluk kepada nilai yang lebih rendah dengan maksimum SR900 setiap bagasi.

Para jemaah haji dinasihatkan membuat pengeposan awal bagi mengelakkan kesesakan semasa pengeposan selain bagi memastikan bagasi mereka dapat diserahkan kepada penerima di Malaysia sebelum hari wukuf.