KUALA LUMPUR: MNRB Holdings Berhad (MNRB) merekodkan peningkatan dalam premium kasar dan sumbangan takaful, iaitu sebanyak 34.9 peratus kepada RM675.4 juta pada suku pertama yang berakhir 30 Jun 2021.

Keuntungan bersih pula sedikit susut dengan sebanyak 8.3 peratus kepada RM46.6 juta daripada RM50.8 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Zaharudin Daud berkata, impak pandemik COVID-19 dan kemunculan varian membimbangkan (VOC) memberikan cabaran kepada operasi syarikat.

"Kesan yang timbul dari pandemik COVID-19 termasuk kemunculan varian membimbangkan (VOC) yang baharu akan terus menimbulkan cabaran kepada landskap operasi kami.

“Bagaimanapun, operasi anak-anak syarikat kami terus bertahan dan fokus pada pemulihan operasi, hasilnya menyumbang kepada pertumbuhan premium kasar dan sumbangan takaful,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menambah, Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re) mencatatkan kenaikan premium kasar sebanyak 30.1 peratus kepada RM421 juta berbanding RM323.7 juta dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu apabila didorong oleh pertumbuhan daripada segmen perniagaan luar negara.

Keuntungan bersihnya turun 32.4 peratus kepada RM23.8 juta berbanding RM35.2 juta pada suku pertama tahun ini disebabkan oleh pendapatan pelaburan bersih yang rendah disebabkan oleh pasaran ekuiti yang lemah.

“Malaysian Re terus menunjukkan trajektori pertumbuhan yang kukuh dengan mencatatkan premium suku pertama tertinggi sebanyak RM421. juta.

“Melangkah lebih jauh pada tahun kewangan 2022, kami akan memanfaatkan peluang untuk mengembangkan perniagaan dalam pasaran luar negera apabila perniagaan sudah dibuka kembali selepas menunjukkan pertumbuhan positif dalam menangani wabak ini,” katanya.

Ujarnya, Takaful Ikhlas General Bhd pula menyaksikan sumbangan kasar meningkat 23 peratus kepada RM94 juta pada suku pertama daripada RM76.4 juta pada tempoh yang sama tahun lalu, terutamanya disumbangkan oleh pertumbuhan agensi dan saluran bankatakaful.

Manakala, keuntungan bersihnya menurun 18.3 peratus kepada RM5.8 juta berikutan pendapatan pelaburan bersih yang rendah dan perbelanjaan perolehan yang lebih tinggi.

Selain itu, sumbangan kasar Takaful Ikhlas Family Bhd meningkat 58.6 peratus kepada RM161.9 juta daripada RM102.1 juta tahun lalu. 

"Bisnes takaful terus berdaya tahan dan diteruskan dengan bersungguh-sungguh, termasuk melancarkan dan kempen produk baharu, seperti Cancer Rider.

“Pada masa sama, kami juga menyaksikan penyertaan lebih tinggi dalam produk kami kerana melihat rakyat Malaysia mula menyedari pentingnya mendapatkan perlindungan takaful dalam persekitaran tidak menentu ketika ini,” ujarnya.

Sementara itu, Zaharudin menambah, bagi prospek tahun kewangan 2022, pihaknya menyedari risiko dibawa varian Delta dan yakin terhadap Pelan Pemulihan Negara termasuk peningkatan kadar vaksinasi negara sebagai pemacu pemulihan ekonomi.

“Melihat perkembangan ini, MNRB Group terus memperkukuh perniagaan dan bersiapa sedia terhadap pemulihan ekonomi yang tidak dijangkakan untuk memastikan kami muncul lebih kuat secara kolektif pada tahun kewangan 2022 termasuk mengurangkan kesukaran berpunca darpada pandemik ini,” katanya.

Baru-baru ini, MNRB mengumumumkan pembayaran dividen satu peringkat terakhir sebanyak 4.0 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 berjumlah RM31.3 juta yang tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan akan datang.