KUALA LUMPUR:Bursa Malaysia Bhd telah mencatatkan rekod keuntungan selepas cukai, zakat, dan kepentingan minoriti (PATZAMI) sebanyak RM377.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Wahid Omar dalam sidang media hari ini berkata, ia merupakan peningkatan 103.2 peratus, berbanding RM185.9 juta pada tahun kewangan sebelumnya yang berakhir 31 Disember 2019.

Susulan prestasi cemerlang itu, beliau berkata, Lembaga Pengarah Bursa Malaysia telah meluluskan dividen akhir pada kadar 26 sen satu saham, dan dividen istimewa 8 sen per saham, dengan jumlah keseluruhan masing-masing RM210 juta dan RM64.7 juta.

Dengan kadar pembayaran dividen keseluruhan sebanyak 51 sen per saham, Abdul Wahid berkata, ia merupakan peningkatan sebanyak 145 peratus, berbanding 20.8 sen per saham yang dibayar pada tahun kewangan 2019.

“Walaupun negara dilanda krisis kesihatan dan ekonomi, kebanyakan pasaran kapital dengan kecairan domestik yang kukuh seperti Malaysia telah meraih untung daripada peningkatan pelabur runcit domestik.

“Keupayaan kami untuk menangani peningkatan mendadak dari segi jumlah, serta mencapai prestasi kewangan yang memberangsangkan ini, merupakan bukti komitmen tidak berbelah bahagi kami dalam memastikan kesinambungan pelaburan dalam inisiatif pertumbuhan Bursa Malaysia,” katanya lagi.

Berdasarkan kenyataan media, selain PATZAMI, Bursa Malaysia turut mencatatkan peningkatan permodalan pasaran sebanyak 6.1 peratus iaitu RM1.8 trilion.

Pasaran Sekuriti mencatatkan peningkatan keuntungan perdagangan saham sebanyak RM498.9juta, atau 114.3 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala keuntungan Pasaran Derivatif meningkat sebanyak 26 peratus kepada RM91.1 juta.

Mengulas lanjut, Abdul Wahid berkata, prestasi kewangan Bursa Malaysia disokong oleh aktiviti pembrokeran dalam talian serta persekitaran kadar faedah yang rendah,

Selain itu beliau berkata, Nilai Purata Perdagangan Harian (ADV) untuk sekuriti telah meningkat sekali ganda dari RM1.93 bilion untuk tahun kewangan 2019, kepada RM4.21 bilion untuk 2020.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata, keputusan tahun kewangan 2020 telah menunjukkan kekuatan perniagaan asas Bursa Malaysia untuk memanfaatkan peluang yang timbul dalam pasaran kapital pada 2020.

Beliau berkata, walaupun dilanda pandemik, ekuiti Malaysia terus menunjukkan daya tahan yang tinggi.

Selain itu, Muhamad Umar berkata, kesinambungan operasi pasaran telah membantu mengekalkan aliran modal dalam ekonomi negara bagi memenuhi keperluan perniagaan dan perseorangan.