Inflasi keseluruhan menurun kepada 4.0% pada bulan Oktober
- Seperti yang dijangka, inflasi keseluruhan berkurang kepada 4.0% pada bulan Oktober (September: 4.5%) berikutan redanya kesan asas dalam inflasi elektrik.
- Inflasi teras meningkat sedikit kepada 4.1% (September: 4.0%). Peningkatan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh perkhidmatan dan barangan berkaitan makanan.
- Pada asas bulan ke bulan, peningkatan IHP teras menjadi lebih sederhana kepada 0.1% pada bulan Oktober (September: 0.3%).
- Eksport mencatatkan pertumbuhan sebanyak 15% pada bulan Oktober 2022 (September: 30.1%).
- Pertumbuhan eksport perkilangan didorong oleh produk E&E dan petroleum. Eksport komoditi terus terdiri terutamanya daripada penghantaran LNG dan petroleum mentah.
- Pada masa hadapan, pertumbuhan global yang sederhana dan harga komoditi yang lebih rendah dijangka menjejaskan pertumbuhan eksport Malaysia. Namun begitu, kepelbagaian eksport Malaysia merentas produk dan pasaran boleh membantu mengurangkan kesan ini.
- Pembiayaan bersih meningkat sebanyak 5.7% pada akhir bulan Oktober (September: 5.6%), mencerminkan pertumbuhan yang meningkat sedikit dalam pinjaman terkumpul (6.5%; September: 6.4%) dan bon korporat (3.6%; September: 3.5%).
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah menjadi sederhana kepada 6.3% (September: 6.6%) apabila pertumbuhan bayaran balik pinjaman mengatasi pertumbuhan pengeluaran pinjaman merentas tujuan pinjaman utama. Pertumbuhan yang lebih perlahan dalam pengeluaran mencerminkan permintaan pinjaman yang sederhana terutamanya untuk pembelian barangan bernilai tinggi seperti rumah dan kereta.
- Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat kepada 5.5% (September: 5.2%), dengan pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi dicatatkan bagi kebanyakan tujuan. Mengikut segmen, pertumbuhan dalam pengeluaran pinjaman terus menggalakkan, terutamanya bagi PKS.
Pelarasan pasaran kewangan domestik kekal teratur
- Keadaan kewangan global terus menjadi ketat. Banyak bank pusat telah menaikkan kadar dasar mereka dan memberikan isyarat bahawa kadar akan terus dinaikkan bagi mengurangkan inflasi yang tinggi dan berterusan. Berlatarkan keadaan ini, prospek pertumbuhan global telah menjadi lemah, dengan IMF menurunkan unjuran pertumbuhan global 2023 kepada 2.7% daripada 2.9%.
- Memandangkan faktor-faktor ini terus menyokong kekukuhan dolar AS, ringgit menurun nilai sebanyak 1.9% berbanding dengan dolar AS pada bulan Oktober (purata serantau: -0.04%).
- Walaupun dengan perkembangan global ini, pelarasan pasaran kewangan domestik kekal teratur dan keadaan kewangan menjadi agak reda. Kadar hasil MGS 10 tahun berkurang sebanyak 4.0 mata asas (purata serantau: +13.3 mata asas) dan FBM KLCI meningkat sebanyak 4.7% (purata serantau: +2.9%), disokong oleh momentum pertumbuhan ekonomi dalam negeri yang kukuh.
Permodalan institusi perbankan terus kukuh untuk menyokong pemulihan ekonomi
- Sistem perbankan terus mencatatkan tahap permodalan yang kukuh untuk menghadapi kemungkinan tekanan dan terus menyokong aliran kredit ke dalam ekonomi dengan lebihan penampan modal sebanyak RM123.1 bilion.
- Nisbah modal meningkat sedikit pada bulan Oktober didorong oleh peningkatan dalam pendapatan tertahan dan terbitan baharu instrumen modal.
Daya tahan institusi perbankan terus disokong oleh kualiti aset yang kukuh.
- Secara keseluruhan, nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih kekal tidak berubah, masing-masing pada 1.8% and 1.1%.
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab kawal selia) kekal pada tahap berhemat sebanyak 114.2% daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.8% daripada jumlah pinjaman.
- Setakat akhir bulan Oktober 2022, sistem perbankan mencatatkan jumlah peruntukan dan rizab kawal selia sebanyak RM41.9 bilion.