Walau pun industri halal semakin berkembang, namun produknya masih belum berupaya menampung keperluan umat Islam seluruh dunia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin pada Khamis.

Katanya industri halal mempunyai masa depan yang cemerlang kerana 1.8 bilion penduduk Islam dunia sentiasa mendambakan produk halal.

Bercakap kepada media Malaysia sempena misi dagang dan pelaburan ke Thailand di Hatyai, beliau berkata HDC akan terus memperkukuh dan mengembangkan industri halal dengan menjalin kerjasama dengan negara-negara Asean terutama Thailand dan Indonesia.

Jamil berkata, misi dagang dan pelaburan selama dua hari yang berakhir semalam membuka peluang kepada syarikat-syarikat Malaysia dan Thailand menjalin kerjasama bagi mengukuhkan industri halal yang kini dilihat berkembang pesat.

Beliau berkata, Asean mempunyai potensi pasaran yang amat baik dengan Malaysia yang telah lebih 40 tahun terbabit dalam industri halal berada pada kedudukan terbaik sebagai peneraju industri itu.

Menurutnya, permintaan produk halal begitu tinggi di kalangan negara Asean, malah keperluannya lebih besar jika mengambil kira keperluan seluruh penduduk Islam dunia.

Mengenai kerjasama Malaysia dan Thailand dalam industri halal, Jamil berkata walau pun Malaysia merupakan pemain utama dalam pengeluaran produks halal, namun industri pertanian Thailand lebih besar.

"Malaysia dan Thailand boleh memainkan peranan bersama bagi mewujudkan suasana menang-menang," katanya.

Jamil berkata, Malaysia telah menyediakan banyak infrastruktur untuk industri halal dan pelabur Thailand perlu memanfaatkan kemudahan yang sedia ada di Malaysia untuk pembangunan industri halal.

Beliau berkata HDC telah melakar kerjasama pembangunan industri halal dengan pihak Thailand sejak 2009 dan yakin kerjasama itu akan menjadi lebih kukuh dengan pertemuan para penggiat industri halal kedua negara ketika berlangsungnya Seminar Potensi Industri Halal dan Peluang Jalin Kerjasama Malaysia-Thailand.

Menurut Jamil, HDC juga bekerjasama dengan Jawatankuasa Islam Pusat Thailand (CICOT) bagi mengembangkan industri halal dan dan pernah membuat perbincangan dengan Chulalonkorn University yang melaksanakan penyelidikan dan pembangunan industri halal di Thailand pada 2009.

Walau pun acara rasmi berakhir semalam, namun hari ini, para peniaga dan usahawan Malaysia dan Thailand mengambil kesempatan meninjau tapak-tapak industri halal di sekitar wilayah Songkhla.