Skip to main content

Malaysia

Misi bantuan Gaza: Pemilihan MB Selangor bantu permudah rundingan dengan Mesir - Anwar

IPOH, 4 April -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan perasmian Program MADANI RAKYAT 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru, hari ini._BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan perasmian Program MADANI RAKYAT 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru, hari ini. - Foto Bernama

IPOH: Pemilihan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza dan delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 adalah bagi memudahkan urusan perundingan dengan kerajaan Mesir sekali gus melancarkan penghantaran bantuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemilihan Amirudin selaku wakil kerajaan penting kerana misi ini melibatkan penghantaran bantuan berskala besar selain memerlukan beberapa perundingan dengan Kerajaan Mesir.

Advertisement

“Saya memang telah ambil keputusan tidak menghantar mana-mana, cuma kerana ini melibatkan (bilangan) kontena yang besar dan perundingan dengan kerajaan Mesir dan tentera Mesir jadi saya kena minta seorang wakil yang memegang jawatan dalam kerajaan untuk membantu memudahkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak, di sini, hari ini.

Anwar berkata bantuan dari Malaysia itu mengambil kira masalah dan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat Gaza pada masa ini yang amat tinggi dan membebankan.

Semalam, Pejabat Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan Amirudin akan mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 yang bermula esok mewakili kerajaan.

Misi anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan membawa 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.

-- BERNAMA

Must Watch Video