KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) berjaya meningkatkan hasil jualan 141 usahawan melalui tiga program bimbingan dengan peningkatan hasil jualan berjumlah RM3.8 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, program berkenaan adalah INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu.

Jelasnya, ketiga-tiga program itu turut mencipta 14 pekerjaan baharu melalui Program IBBC.

"Pecahan peningkatan hasil jualan ini terbahagi kepada tiga iaitu, RM3.3 juta daripada 51 peserta Program IBBC, RM49,000 daripada 30 peserta Program Bimbingan Pembangunan Produk dan RM476,000 adalah daripada 60 usahawan yang menyertai Program Bimbingan Keuntungan Menu.

"Program bimbingan anjuran INSKEN ini juga berjaya membantu sembilan usahawan bertukar status daripada kategori mikro kepada kategori perusahaan kecil," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, seramai180 usahawan yang bergraduasi telah mengikuti tujuh program bimbingan INSKEN dan tiga daripadanya adalah melalui hasil kolaborasi bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN telah dirasmikan Ewon.

Dalam pada itu katanya, pencapaian itu amat cemerlang baginya yang baru sahaja memulakan tugas dan menerajui kementerian tersebut.

Beliau turut menegaskan, agenda memperkasakan usahawan di seluruh Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak akan diperhebatkan lagi pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, pencapaian cemerlang seperti itu menjadikan INSKEN semakin bersemangat untuk melaksanakan lebih banyak lagi program bimbingan pada tahun 2023.

"Program bimbingan INSKEN yang dimulakan sejak tahun 2017 ini seringkali menunjukkan prestasi baik dan wajar diteruskan supaya usahawan-usahawan yang dibimbing ini juga akan dapat menyumbang kepada ekonomi negara.

"Sepanjang tahun 2022 program bimbingan INSKEN telah mencipta RM8.7 juta lonjakan hasil jualan, 100 peluang pekerjaan baharu dan 37 perniagaan bertukar status daripada kategori mikro kepada perusahaan kecil.

"Pencapaian keseluruhan tahun ini direkodkan melalui pelaksanaan 38 program bimbingan yang telah tamat dan terdiri daripada 1,395 usahawan," ujarnya.

Selain program IBBC jelasnya, Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu, terdapat satu lagi kumpulan usahawan permulaan yang turut bergraduasi iaitu Program INSKEN Start-Up Coaching.

"Pencapaian program ini diukur melalui peningkatan skor diagnostik dan pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara sah.

"Secara keseluruhan, 30% purata skor diagnostik dapat ditingkatkan dan 100% usahawan telah berjaya mendaftar syarikat dengan SSM.

"Seramai 39 usahawan yang menyertai Program INSKEN Start-Up Coaching ini terbahagi kepada 2 industri iaitu 20 usahawan daripada Postnatal Care dan 19 usahawan daripada kafe dan restoran," katanya.