Projek menarik seperti Pinewood Iskandar Malaysia Studios, yang akan siap pada Mei, mewujudkan peluang pelaburan baharu bagi penyertaan lebih besar daripada pelabur Indonesia.

Studio produksi filem lengkap itu menawarkan kemudahan dan kepakaran bertaraf antarabangsa dengan pembangunan berdekatan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang dan resort pantai Desaru akan menyediakan kesan limpahan baharu yang akan memberi manfaat kepada Iskandar Malaysia dalam tempoh jangka panjang, demikian satu forum diberitahu hari ini.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Serantau Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim berkata terdapat peluang baharu dalam sektor pelancongan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan logistik bagi pelabur dan kumpulan perniagaan Indonesia.

"Meskipun kami melihat penyertaan aktif daripada pelabur seberang Selat Tebrau, iaitu, Singapura, kami percaya masih ada ruang bagi pembabitan lebih meluas daripada rakan kita di Indonesia," katanya semasa berucap di Forum Pelaburan Iskandar Malaysia di sini.

Forum pelaburan itu merupakan sebahagian daripada Misi Penggalakan Trans-Serantau Iskandar Malaysia-Indonesia (IMITRA).

Setakat ini, pelabur Indonesia di Iskandar Malaysia termasuklah Sinas Mas, yang melabur dalam pembangunan liburan dan pelancongan di Sena; Musim Mastika dalam pengeluaran kluster perindustrian minyak sawit di Tanjung Langsat; Mulford Plastics dalam pembuatan pengacuan plastik di Pasir Gudang; dan Delphi Cocoa yang mengeluarkan produk makanan berasaskan koko di Pasir Gudang.

Ismail berkata pelaburan oleh syarikat Indonesia di Iskandar Malaysia kini berjumlah kurang daripada RM1 bilion.

Menurutnya, dari November 2006 hingga akhir 2012, Iskandar Malaysia berjaya menarik pelaburan kumulatif RM106.31 bilion atau kira-kira US$34 bilion, di mana kira-kira 41 peratus telah direalisasikan setakat ini.

Ini termasuk penyiapan projek pemangkin dalam pelbagai sektor yang dipromosikan seperti Johor Premium Outlets di Kulaijaya, Educity di Nusajaya, Legoland Malaysia dan Taman Tema Tertutup Keluarga Puteri Harbour.

Kira-kira 64 peratus daripada pelaburan ini datang daripada pelabur Malaysia dengan selebihnya disumbang oleh pelabur bukan Malaysia, katanya.