KUALA LUMPUR:Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) mampu memberi kesan positif kepada ekonomi walaupun ketika ekonomi negara berhadapan kelembapan disebabkan pandemik COVID-19.

Ketua Ekonomi Pusat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Prof Madya Dr Yusof Saari, berkata kesan yang dapat dilihat terbahagi kepada dua iaitu ketika fasa pembinaan dan selepas projek siap dibina.

"Bagi saya, pembinaan ini mampu beri kesan kepada ekonomi negara. Kita semua tahu ekonomi negara sekarang agak suram disebabkan oleh COVID-19.

“Jadi pelaburan ke atas pembinaan lapangan terbang dan juga hab industri keseluruhannya akan membantu untuk menjana ekonomi sekali gus untuk memulihkan ekonomi negara.

“Selain itu, kita perlu ingat bahawa ini adalah pelaburan bersifat jangka masa panjang yang mana manfaat ekonomi itu akan dirasai dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang,” jelas Dr Yusof ketika dihubungi Astro AWANI pada malam Rabu.


 
Tambahnya, projek itu yang boleh menampung limpahan penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada masa hadapan, mampu memberi impak ekonomi yang positif secara keseluruhan di wilayah utara.

“Jadi kita kena faham kesan bagi jangka masa pendek dan masa panjangnya.

“Selepas siap dibina nanti, ia merupakan satu projek skala yang besar dan pastinya, saya optimis akan ada impak kepada keseluruhan wilayah utara,” tambahnya lagi.

BACA: Kerajaan lulus pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, hari ini mengumumkan kerajaan Persekutuan sekali lagi meluluskan pembinaan KXP selepas kajian mendapati LTAPP dijangka tidak mampu menampung pertambahan penumpang pada masa hadapan.

Projek pembinaan itu pernah diluluskan kerajaan pada Mac 2019 namun Kementerian Pengangkutan pada Ogos lalu mengumumkan penangguhan semua projek naik taraf dan pembinaan lapangan terbang baharu termasuk KXP.

Arahan penangguhan itu disebabkan kerajaan berhasrat mahu membuat pertimbangan semula selepas kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) dimuktamadkan pada 2023.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi kemudian mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Putrajaya, sebelum kedua-dua pihak setuju supaya kertas cadangan projek KXP dibentangkan semula pada mesyuarat MPFN.