BISNES
Projek sakit dalam RMK11, RMK12 di Sarawak wajib siap dalam RMK13 - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika menghadiri Sesi Taklimat Pelaksanaan Program/Projek Pembangunan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Sarawak hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan agar lima projek bermasalah di Sarawak yang melibatkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK12 disiapkan sepenuhnya dalam tempoh RMK13 nanti.
Ringkasan AI
- Penyelesaian projek tertangguh di Sarawak: Lima projek bermasalah di bawah RMK11 dan RMK12 akan diselesaikan dalam tempoh RMK13 bagi memastikan pembangunan luar bandar berjalan lancar.
- Bantuan kepada mangsa tanah runtuh: Selepas sambutan Hari Gawai, rumah penduduk yang terjejas akibat tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri akan dibina semula dengan tanah yang telah diperoleh.
- Penubuhan Kolej Poly-Tech MARA Sarawak: KKDW bercadang membuka KPTM di Kuching atau Samarahan bagi memberi peluang pendidikan kepada belia, dengan sasaran 1,000 pelajar menjelang 2028.
"Contohnya, bukan projek bermasalah, tetapi projek yang ditangguhkan seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Lawas yang telah mendapat kelulusan tetapi belum dilaksanakan. Arahan saya agar dalam Rolling Plan 1 RMK13, projek MRSM ini mesti dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Pelaksanaan Projek Pembangunan KKDW Sarawak di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata susulan kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri pada Januari lepas yang menyebabkan 14 rumah mengalami kerosakan sepenuhnya, usaha membina semua rumah penduduk yang terjejas akan dilaksanakan selepas sambutan Hari Gawai ini.
"Tanah yang sesuai telah diperoleh seperti yang ditentukan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) dengan pelaksanaannya oleh agensi kerajaan negeri," katanya, sambil menambah kejadian itu telah menjejaskan sejumlah 277 penduduk di perkampungan terbabit.
Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya bercadang untuk menubuhkan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Sarawak di Kuching atau Samarahan bagi memperluaskan peluang golongan belia di negeri ini melanjutkan pelajaran di peringkat pra-diploma, diploma dan asasi.
Beliau menyasarkan sejumlah 1,000 pelajar yang akan memasuki KPTM itu nanti menjelang 2028.
"Kita mulakan dengan sasaran kira-kira 200 pelajar dan pada tahun seterusnya kita jangkakan pengambilannya seramai 500 pelajar," katanya dan antara bidang yang ditawarkan termasuk perniagaan, teknologi maklumat dan sains kemanusian.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang serta Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi.
Terdahulu, mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu bertujuan menyelaras pelaksanaan projek pembangunan luar bandar KKDW di Sarawak bagi memastikan rakyat menikmati kemudahan asas dan infrastruktur.
Sementara itu, KKDW dalam kenyataan memaklumkan Sarawak telah menerima peruntukan berjumlah RM3.2 bilion di bawah RMK12 melibatkan pelaksanaan sebanyak 403 program serta projek dengan kos projek keseluruhan berjumlah RM21.73 bilion.
Menurut kenyatan itu, daripada jumlah tersebut terdapat 178 projek atau 44.71 peratus dikenal pasti masih berstatus 'Pra-Pelaksanaaan', manakala 155 projek telah diluluskan bermula dari 2021 sehingga 2025.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami