KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) menyasarkan untuk melepasi paras 1,000 unit kenderaan yang dijual di Brunei menjelang akhir tahun ini, dengan minat yang berterusan terhadap Proton X50 dan model-model lain, serta pengenalan Proton S70.

Dalam satu kenyataan hari ini, pengeluar kereta itu berkata Proton menjual 789 unit di Brunei pada 2023, melonjak sebanyak 87 peratus berbanding 422 unit yang dijual pada 2022.

"Prestasi luar biasa ini melonjakkan jenama Proton ke tangga kelima keseluruhan dalam jadual jualan dan menguasai bahagian pasaran sebanyak 5.4 peratus, naik satu tempat dan meningkat 2.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk negara itu ialah sebanyak 14,640 unit pada 2023, meningkat daripada 13,000 unit pada 2022," katanya.

Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa Proton Steven Xu berkata Proton X50 menjadi model Proton siri X yang paling laris sejak diperkenalkan pada Oktober 2020, dengan lebih 100,000 unit dikeluarkan dari kilang termaju Proton di Tanjong Malim, yang menjadi bukti popularitinya dalam kalangan pelanggan di Malaysia mahupun di luar negara.

"Oleh itu, ia tidak mengejutkan apabila SUV segmen B ini mendahului jualan untuk semua model Proton di Brunei. Sebanyak 476 unit Proton X50 telah dijual di sana pada 2023, membentuk kira-kira 60 peratus daripada jumlah jualan Proton dan memacu model itu sehingga ke tempat ketiga keseluruhan dalam segmen pasarannya.

"Populariti Proton X50 di Brunei boleh dikaitkan dengan komunikasi yang jelas tentang nilai dan cirinya, serta ekuiti jenama kami," katanya.

Xu berkata Proton bekerjasama rapat dengan pengimportnya, PAD Motors untuk mempromosikan harga yang kompetitif dan ciri-ciri unggul model itu berbanding pesaingnya sambil turut menawarkan pakej kewangan bagi memudahkan pemilikan.

"Ini disokong oleh aktiviti-aktiviti di lapangan untuk mempromosikan jenama Proton, yang dibantu oleh kejayaan X50 di Malaysia yang kemudiannya berjaya membina keyakinan pelanggan Brunei," jelasnya.

Menggunakan kejayaan 2023 sebagai platform, Xu berkata Proton dan PAD Motors yakin dapat mengatasi lebih 1,000 unit jualan untuk Brunei pada 2024.

Beliau berkata kunci untuk mencapai matlamat itu ialah pengenalan Proton S70 serba baharu, yang dijangka dilancarkan sebelum penghujung Februari.

Proton menambah Brunei adalah pasaran antarabangsa yang pertama menerima S70, dan 15 unit telah dihantar ke sana pada bulan lepas sebelum pelancaran rasminya.

-- BERNAMA