Nahas bas sekolah di Colombia ragut 17 nyawa, 20 lagi cedera

Menurut laporan awal, pemandu dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan berbukit, menyebabkan kenderaan itu terjatuh ke dalam cerun curam. - Foto X/TendenciaEnX
BOGOTA: Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh manakala 20 lagi cedera selepas sebuah bas sekolah terjunam ke dalam gaung di kawasan luar bandar di utara Colombia, menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan pada Ahad.
Insiden tragis itu berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari bandar pesisir Caribbean, Tolu, menuju ke Medellin selepas satu lawatan sekolah.
Bas tersebut membawa pelajar dan kakitangan dari Sekolah Menengah Antioqueno.
Gabenor wilayah Antioquia, Andrés Julián, dalam satu kenyataan di platform X, mengesahkan jumlah korban dan menyatakan bahawa pasukan penyelamat telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa dan menjalankan siasatan.
Menurut laporan awal, pemandu dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan berbukit, menyebabkan kenderaan itu terjatuh ke dalam cerun curam.
Operasi menyelamat berdepan kesukaran akibat keadaan geografi yang mencabar dan cuaca buruk.
Pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar kemalangan, termasuk kemungkinan kegagalan mekanikal atau faktor kecuaian pemandu.
Beberapa mangsa yang cedera kini dirawat di hospital berdekatan, dengan beberapa daripadanya dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Tragedi ini telah mencetuskan kesedihan di seluruh negara, dengan Presiden Colombia menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan.
Sekolah terlibat turut mengumumkan tempoh berkabung dan menangguhkan semua aktiviti pembelajaran buat sementara waktu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


