Jalinan kerjasama strategik di antara Proton Holdings Berhad dan syarikat pengeluar automotif dunia dijangka mampu meningkatkan keupayaan serta kepakaran Proton untuk bersaing di persada global.

Ketua pegawai eksekutifnya Datuk Abdul Harith Abdullah berkata bergerak ke hadapan model perniagaan yang perlu diguna pakai Proton adalah dengan menggabungkan ciri pengeluar kenderaan yang mampu bergerak sendiri serta mewujudkan kerjasama strategik dengan pemain industri lain di dunia.

"Kami memutuskan untuk melaksanakan kedua-dua pendekatan. Kami (Proton) akan meneruskan perjalanan untuk menjadi sebuah syarikat yang bebas dengan membina laluan kami sendiri, membangunkan jurutera kami sendiri, memacu industri tempatan menerusi vendor kami serta syarikat pengedar kami sendiri.

"Pada masa sama kami melaksanakan rancangan kerjasama yang kami jalinkan setakat ini," kata Abdul Harith.

Mengulas sama ada akan wujud konflik sekiranya Proton melaksanakan kedua-dua model perniagaan itu, Abdul Harith menegaskan ia seharusnya menyokong antara satu sama lain.

"Tidak akan berlaku konflik dengan apa yang kami laksanakan ketika ini, ia seharusnya menyokong apa yang sudah kami laksanakan.

"Kami menghadapi kesulitan dalam usaha untuk bergerak sendiri tetapi pendekatan yang kami ambil tidak salah kerana kami mampu membangunkan model yang berjaya.

"Kami berjaya membangunkan Waja, kami berjaya membangunkan Exora dan kami berjaya membangunkan Persona.

Proton menyambut ulang tahun ke-30 hari ini selepas model pertama Saga mula dikeluarkan ke pasaran domestik pada 1985.

Menuju ke hadapan, pelbagai rancangan jangka panjang direncanakan bagi memastikan Proton kekal berdaya saing di pasaran tempatan seterusnya mampu menempatkan diri di pasaran global.