Skip to main content

Bisnes

Pulau Pinang catat eksport RM574 bilion pada 2025, kekal pengeksport utama Malaysia- Ketua Menteri

61769860455_ChowKonYeow.jpg
Kon Yeow berkata kerajaan Pulau Pinang kekal komited untuk mempersiapkan ekonomi masa depan melalui inovasi, kemampanan dan pembangunan bakat. - Gambar fail

GEORGE TOWN: Pulau Pinang mencatatkan eksport sebanyak RM574.1 bilion pada 2025 sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai negeri pengeksport utama di Malaysia.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, angka tersebut mewakili 36 peratus daripada jumlah eksport negara yang menekankan peranan berterusan Pulau Pinang sebagai tonggak utama dalam prestasi industri dan eksport Malaysia.

Advertisement

"Dalam angka ini, RM436.9 bilion datang daripada eksport elektrik dan elektronik (E&E) mewakili 68 peratus daripada jumlah eksport E&E Malaysia.

"Pulau Pinang terus berada di barisan hadapan dalam pembuatan bernilai tinggi dan mengukuhkan reputasinya sebagai Lembah Silikon di Timur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Membina Rangkaian Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Utara 2026, di sini, pada Selasa.

Turut hadir ialah Pengerusi MICCI Pulau Pinang dan Cawangan Utara, Datuk Brian Tan Guan Hooi; Konsul Jeneral China di Pulau Pinang, Zhou Youbin; Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Wanton Saragih; Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Machida Shinya dan Konsul Jeneral Thailand di Pulau Pinang, Psusit Wongsurawat.

Memandang ke hadapan, Kon Yeow berkata, kerajaan Pulau Pinang kekal komited untuk mempersiapkan ekonomi masa depan melalui inovasi, kemampanan dan pembangunan bakat.

Beliau berkata, Pulau Pinang mencatatkan pelaburan pembuatan yang diluluskan sebanyak RM22.4 bilion pada 2025, meningkat 29 peratus berbanding 2024 dan sektor E&E kekal sebagai pemacu utama dalam landskap pembuatan yang menarik pelaburan sebanyak RM11.3 bilion.

Sementara itu, Kon Yeow turut menekankan inisiatif Penang Automation, Test and Equipment Campus di bawah Strategi Semikonduktor Negara yang diterajui oleh InvestPenang bagi mempercepatkan inovasi dan memperkukuh ekosistem semikonduktor.

Beliau berkata, inisiatif ini akan memberi tumpuan kepada bidang-bidang seperti pembungkusan maju, pembuatan peranti bersepadu, perkhidmatan pembuatan elektronik, teknologi perubatan dan pembuatan peralatan semikonduktor.

"Ini merupakan inisiatif yang mendapat sambutan menggalakkan dalam industri dan kejayaannya akan bergantung pada kerjasama kukuh di antara syarikat multinasional dengan syarikat tempatan melalui kerjasama pengetahuan, pembangunan pembekal selain perkongsian teknologi untuk memperkukuh daya tahan rantaian bekalan," tambahnya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video