BISNES
Pulau Pinang kekal berdaya tahan, inovasi di tengah-tengah ketegangan perdagangan dunia

Chow ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari sempena Sesi Dialog Tahunan Cawangan Utara 2025 anjuran MICCI di George Town, 3 Jun 2025. - Facebook Chow
GEORGE TOWN: Pulau Pinang menegaskan komitmennya terhadap daya tahan, inovasi dan mengekalkan daya saing global di tengah-tengah persekitaran perdagangan dunia yang kekal tegang, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau semasa Majlis Makan Tengah Hari sempena Sesi Dialog Tahunan Cawangan Utara 2025 anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) di sini, semalam berkata, Pulau Pinang kekal terbuka untuk perniagaan, inovasi dan kerjasama kerana negeri itu sentiasa menekankan daya tahan.
"Daripada pelabuhan perdagangan yang berakar umbi hinggalah kepada kemunculan kami sebagai hab elektronik dan inovasi global, kami telah belajar untuk menyesuaikan diri apabila dunia berubah dan ketika ini ia tidak terkecuali. Ekonomi kami sangat bersepadu dalam rantaian bekalan global, sama ada dalam bidang semikonduktor, elektronik, alat ketepatan atau peranti perubatan.
"Jadi apabila kejutan berlaku, kesannya turut dirasai di Bayan Lepas dan Batu Kawan sama seperti di Shanghai (China) atau San Jose (California). Tetapi saya selalu berkata, kita mesti mencari hikmah di sebalik cabaran, tidak semuanya suram dan muram," katanya.Chow berkata syarikat-syarikat multinasional kini menilai semula kehadiran mereka di peringkat serantau dan ramai yang ingin beralih ke ekosistem yang lebih stabil, cekap dan telus dari segi politik.
Sehubungan itu, katanya, Pulau Pinang dengan infrastrukturnya yang kukuh, tenaga kerja mahir dan persekitaran mesra perniagaan merupakan pilihan semula jadi.
Beliau turut memuji usaha diplomatik proaktif Malaysia berikutan terdapat petunjuk bahawa tarif ke atas barangan Malaysia mungkin dihadkan kepada 10 peratus berbanding kadar setinggi 24 peratus atau lebih yang mewujudkan rasa bimbang disebabkan tindakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump itu.
"Seperti yang telah dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, ini merupakan satu perubahan yang positif dan sebahagiannya mencerminkan usaha diplomatik proaktif Malaysia.
"Saya memuji usaha Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana mengambil pendekatan yang terus dan tegas, termasuk menulis secara peribadi kepada Trump untuk mencadangkan Sidang Kemuncak Khas AS-ASEAN. Ini menunjukkan bahawa Malaysia bukan sahaja bertindak balas, tetapi turut memimpin dalam membentuk hasil perdagangan untuk rantau ini," tambah beliau.
Majlis makan tengah hari itu juga dihadiri oleh Pengerusi MICCI Cawangan Utara Datuk Brian Tan Guan Hooi serta lebih 200 wakil daripada pelbagai industri dan sektor berkaitan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami