Skip to main content

Bisnes

Pulau Pinang terus tarik pelabur di sebalik ketidaktentuan global - InvestPenang

41721298956_PenangBridge.jpg
Minat pelabur terhadap Pulau Pinang kekal utuh meskipun berdepan peningkatan ketidaktentuan global, disokong oleh permintaan berdaya tahan dalam sektor elektrik dan elektronik serta kedudukan strategik negeri itu dalam rantaian bekalan global yang semakin berkembang. - Gambar hiasan

GEORGE TOWN: Minat pelabur terhadap Pulau Pinang kekal utuh meskipun berdepan peningkatan ketidaktentuan global, disokong oleh permintaan berdaya tahan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta kedudukan strategik negeri itu dalam rantaian bekalan global yang semakin berkembang.

Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian berkata, berdasarkan tinjauan industri terbaharu agensi itu, kira-kira 70 peratus responden memaklumkan kos pengeluaran meningkat sehingga 20 peratus, manakala lebih separuh melaporkan tempoh penghantaran yang lebih panjang serta gangguan dalam perolehan bahan mentah, khususnya berkaitan logistik dan rantaian bekalan.

Advertisement

Bagaimanapun, katanya, kesan tersebut kurang ketara dari segi pengurangan pengeluaran atau hasil, sebaliknya lebih dirasai melalui tekanan terhadap margin keuntungan syarikat pembuatan.

“Walaupun berdepan cabaran ini, keyakinan pelabur kekal kukuh apabila syarikat semakin mengutamakan pelaburan strategik jangka panjang berbanding kedudukan jangka pendek, di samping memberi penekanan lebih besar kepada ketahanan rantaian bekalan, kepelbagaian dan kesiapsiagaan teknologi,” katanya kepada Bernama.

Loo berkata, Pulau Pinang terus mencatat pertumbuhan pelaburan dan perdagangan yang stabil merentasi pelbagai kitaran geopolitik, khususnya dalam sektor produk E&E.

Beliau berkata, sebelum tercetusnya konflik di Asia Barat, syarikat-syarikat telah mula memperluas kapasiti pengeluaran bagi memenuhi pemacu permintaan struktur seperti kecerdasan buatan (AI).

Mengulas hala tuju masa depan, beliau berkata keutamaan perlu diberikan kepada segmen strategik yang mampu menjana nilai lebih tinggi kepada Malaysia, termasuk reka bentuk litar bersepadu (IC), pembungkusan lanjutan dan pembuatan peralatan, yang merupakan pemangkin penting dalam ekosistem AI global.

“Inisiatif seperti Penang Silicon Design @5KM+ (PSD@5KM+) dan Kampus ATE Pulau Pinang dijangka memperkukuh keupayaan tempatan, meningkatkan ketahanan rantaian bekalan, memperluas saluran bakat serta membolehkan firma tempatan bergerak ke rantaian nilai yang lebih tinggi.

“Dengan memanfaatkan kekuatan industri sedia ada serta memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri dan akademia, Pulau Pinang berada dalam kedudukan yang baik untuk kekal sebagai destinasi pelaburan yang relevan, berdaya saing dan dipercayai dalam landskap global yang semakin kompleks,” katanya.

Sementara itu, ahli ekonomi kanan ASEAN OCBC Bank, Lavanya Venkateswaran berkata, tiada petunjuk menunjukkan pelabur asing semakin berhati-hati terhadap Pulau Pinang atau Malaysia, meskipun berdepan cabaran global.

Sebaliknya, beliau berkata, peningkatan ketidaktentuan geopolitik, termasuk dasar ekonomi Amerika Syarikat dan ketegangan di Asia Barat, menjadikan ASEAN dan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang semakin menarik.

Lavanya berkata, Pulau Pinang secara konsisten mencatat pertumbuhan melebihi kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional sejak pandemik COVID-19, disokong oleh kitaran peningkatan global industri semikonduktor yang dijangka berterusan sehingga 2026.

Bagaimanapun, beliau berkata, ketegangan geopolitik, khususnya di Asia Barat, berpotensi menjejaskan sektor pengangkutan dan logistik, sekali gus memberi tekanan kepada prospek pertumbuhan.

Beliau menegaskan, usaha menaikkan rantaian nilai semikonduktor, memperkukuh kesalinghubungan serta memajukan sektor pelancongan termasuk pelancongan perubatan adalah penting bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negeri.

“Walaupun ketidaktentuan global kekal tinggi, asas ekonomi yang kukuh dan kedudukan strategik Pulau Pinang seharusnya membolehkan negeri ini mengekalkan pertumbuhan dalam jangka sederhana,” katanya.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sektor E&E kekal sebagai penyumbang terbesar kepada keseluruhan pelaburan pembuatan yang diluluskan di Pulau Pinang pada 2025, dengan nilai RM11.3 bilion atau mewakili 50 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Pelaburan sektor E&E pada tahun itu turut mencatat peningkatan tahun ke tahun sebanyak 44 peratus, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi utama pemain E&E global.

Secara keseluruhan, MIDA merekodkan 232 projek pelaburan yang diluluskan di Pulau Pinang pada tahun lalu, merangkumi 118 projek pelaburan baharu dan 114 projek pengembangan, kepelbagaian atau lanjutan projek sedia ada.

-- BERNAMA

Must Watch Video