KUALA LUMPUR: Sebanyak 11,564 usahawan Bumiputera melibatkan 8,086 buah syarikat telah berjaya dibangunkan dengan jumlah kelulusan pembiayaan sebanyak RM3.5 bilion sejak penubuhan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB).

Pengerusi Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata PUNB yang ditubuhkan pada 17 Julai, 1991 telah menyediakan pelbagai sokongan kewangan dan korporat dalam tempoh 30 tahun kewujudannya.

Beliau berkata PUNB bermula dengan memperkenalkan pakej-pakej keusahawanan bersepadu yang dirangka khas bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pakej pembiayaan di bawah Projek Usahawan Bumiputera dalam Bidang Peruncitan atau PROSPER.

"Strategi PUNB seterusnya dipergiatkan dengan memperkenalkan program latihan keusahawanan yang mensasarkan golongan muda.

"Program berkonsep ''mentor-mentee'' ini dikenali sebagai JOM JADI PERANTIS atau JUMPER, bertujuan memberi pendedahan awal kepada siswazah tentang selok-belok dunia perniagaan," katanya ketika berucap menerusi rakaman video di program Ikon Inspirasi Impian sempena 30 tahun PUNB.

Selain pembiayaan, PUNB juga menawarkan sewaan premis perniagaan bagi memberi ruang kepada usahawan Bumiputera untuk menjalankan perniagaan di lokasi-lokasi strategik dengan kadar sewaan yang kompetitif.

PUNB turut memperkenalkan satu inisiatif antarabangsa iaitu PROSPER Global, bertujuan mempertingkatkan dan menaik taraf perniagaan Bumiputera agar lebih kompetitif dan mampu menembusi pasaran global, tambah beliau.

Sejak penularan pandemik COVID-19, PUNB telah menyalurkan moratorium melibatkan jumlah kutipan sebanyak RM265 juta dan diskaun sewaan premis perniagaan dengan kutipan sebanyak RM13.45 juta (1 April 2020 - 31 Dis 2021) di bawah payung #InisiatifPrihatinPUNB.

Katanya, agensi itu turut memperkenalkan inisiatif Bumiputera Relief Financing (BRF) bertujuan membantu usahawan dan perniagaan Bumiputera yang terjejas akibat kesan penularan COVID-19 dan inisiatif ini telah berjaya membantu seramai 729 usahawan dengan jumlah kelulusan pembiayaan sebanyak RM218.2 juta.

PUNB juga telah mewujudkan Skim Pembiayaan Usahawan Terkesan COVID-19 (SPUR) dengan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi membantu individu Bumiputera yang ingin atau telah menceburi bidang perniagaan.

"Sebanyak 73 usahawan telah menerima manfaat ini yang melibatkan jumlah pembiayaan keseluruhan sebanyak RM5.45 juta," jelasnya.

-- BERNAMA