KUALA LUMPUR: Datumcorp International Sdn. Bhd. (DCI) mengunjurkan kadar penghunian sebanyak 95 peratus bagi pusat beli-belah baharunya, Datum Jelatek Shopping Centre menjelang suku keempat tahun hadapan.

Datum Jelatek Shopping Centre terletak di Jalan Jelatek merupakan sebahagian daripada pembangunan keseluruhan Datum Jelatek yang dibangunkan DCI, anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ketua Pegawai Eksekutif DCI, Mohd Azmil Abd Shukor berkata, ketika ini pusat beli-belah tersebut mencatatkan kadar penghunian sebanyak 70 peratus selain pembukaannya dijangka mampu melonjakkan penjualan unit kediaman Datum Jelatek.

“Kita turut percaya ia dapat membantu merancakkan kitaran ekonomj negeri dan meningkatkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Ini bukti komitmen syarikat bagi mendukung aspirasi kerajaan negeri Selangor dalam menjadi sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi,” ujarnya kepada pemberita pada majlis Pembukaan Datum Jelatek Shopping Centre di sini pada Sabtu.

Datum Jelatek | Unjur 95% kadar penghunian pusat beli-belahnya, Q4 2023

Turut hadir merasmikan, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.

Pusat beli-belah dengan keluasan lebih 500,000 kaki persegi tersebut dihubungkan terus ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Jelatek melalui jambatan berbumbung sepanjang lebih 30 meter memberi keselesaan dan keselamatan kepada penduduk setempat serta pengunjung.

Datum Jelatek Shopping Centre terletak di lokasi strategik selain berdekatan barisan pejabat kedutaan asing dan campuran kejiranan mewah, sederhana dan kos rendah yang bakal menjadi titik fokus komuniti. Ia selaras dengan inspirasi syarikat, ‘Bridging the Community’.

Dalam pada itu, menurut Mohd. Azmil, pihaknya bakal membangunkan projek berimpak tinggi iaitu kediaman disertakan dengan perkhidmatan penjagaan kesihatan atau dikenali sebagai assisted living.

“Ia akan dilancarkan di Seksyen 13, Shah Alam menjelang suku pertama tahun hadapan sebagai usaha menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi dan komuniti.

“Projek ini akan dibangunkan dalam tempoh tiga tahun sebelum membangunkan pusat perubatan dalam menyumbang semula kepada komuniti dan sekaligus ia dapat menyumbang kepada pendapatan PKNS sebagai syarikat pemilik kami,” ujarnya.

Antara jenama yang terdapat di Datum Jelatek Shopping Centre termasuk The Food Merchant, Healthlane Pharmacy, Guardian, Burger King, A&W, Four Fingers, KFC, Kenny Rogers, Krispy Kreme, Gigi Coffee dan Zus Coffee.