Skip to main content

Bisnes

PuTERA35: Kolaborasi, keberanian kembangkan model perniagaan jadi kunci kejayaan

Sumber: Astro AWANI
Gabungan kolaborasi strategik, keberanian mengembangkan model perniagaan serta penekanan terhadap latihan dilihat sebagai faktor utama dalam memastikan syarikat tempatan kekal berdaya saing.

KUALA LUMPUR: Perubahan teknologi yang pantas menuntut usahawan untuk berfikir lebih terbuka dan bersedia menjalinkan kerjasama strategik bagi memastikan perniagaan terus berkembang.

Timbalan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Zahari Aziz berkata, dalam era moden hari ini, syarikat tidak lagi mampu bergerak secara bersendirian jika mahu mencapai tahap lebih tinggi.

Advertisement

“Dalam era teknologi moden sekarang, salah satu perkara yang paling penting adalah perubahan teknologi semasa dan kita harus mengakui bahawa sekiranya kita bergerak secara bersendirian, kita tidak akan mampu mencapai tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Menurut beliau, perubahan minda khususnya dari segi keterbukaan untuk berkolaborasi perlu diterapkan dalam kalangan syarikat, termasuk syarikat bumiputera.

“Perubahan minda untuk berkolaborasi ataupun mindset openness ini perlu ada dalam syarikat. Sama ada berkolaborasi dengan syarikat bumiputera sendiri ataupun bersama GLC mahupun syarikat bukan bumiputera yang mampu memberikan sinergi dan impak kepada perniagaan masing-masing,” jelasnya dalam program PuTERA35 yang diterbitkan Astro AWANI. 

 

 

Tambah beliau, kolaborasi strategik mampu membawa penambahbaikan ketara kepada sesebuah syarikat termasuk meningkatkan kapasiti dan memperluaskan skala perniagaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku.com, Azarol Faizi Zakaria Ansari menyifatkan perniagaan sebagai satu perjalanan yang memerlukan minat serta keupayaan melihat peluang dalam pasaran.

“Perniagaan ini adalah sebuah perjalanan. Pertama, kena ada minat. Lepas itu, kita nampak peluang sebab memang ada jurang dalam pasaran,” katanya.

Beliau menjelaskan, model perkhidmatan bateri kenderaan bukanlah sesuatu yang baharu, namun sebelum ini kebanyakan pemain industri beroperasi dalam skala kecil.

“Apa yang kita buat dah lama wujud, mungkin 15 tahun sebelum saya mula pun sudah ada orang buat. Cuma skala dia kecil. Kami nampak benda ini boleh diskalakan ke satu negara,” ujarnya.

Menurut Azarol, permintaan pasaran sememangnya sudah ada ketika itu, namun tiada syarikat yang berani mengembangkan model berkenaan secara besar-besaran.

Beliau turut menekankan kepentingan membina ekosistem perniagaan yang kukuh bagi menjaga reputasi jenama.

“Kita terpaksa bina akademi sebab rangkaian teknikal di luar membawa jenama kita. Kalau mereka tidak dilatih dengan baik dan berlaku masalah pada kenderaan pelanggan, imej kita akan tercalar,” katanya lagi.

Jelasnya, pelaburan dalam latihan dan pembangunan modal insan adalah langkah penting bagi memastikan kualiti perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik.

Gabungan kolaborasi strategik, keberanian memperbesarkan model perniagaan serta penekanan terhadap latihan dilihat sebagai faktor utama dalam memastikan syarikat tempatan kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi digital yang semakin mencabar.

Must Watch Video