Qantas merancang untuk memperluaskan rangkaian dalam Asia, dengan bekerjasama dengan Malaysia Airlines (MAS) dan rakan lain.

Ini apabila ia mengumumkan strategi empat fasa bagi pasaran Asia dengan destinasi baru yang dipertimbangkan termasuk Beijing, Seoul, Mumbai, Delhi dan Tokyo-Haneda.

Qantas juga merancang untuk menyediakan penerbangan lebih kerap ke Singapura dan Hong Kong, serta menjadualkan semula masa pelepasan penerbangan berkenaan dan menambah kapasiti laluan itu.

Syarikat penerbangan itu berharap dapat memperluaskan rangkaiannya dalam Asia melalui kerjasama dengan rakan kongsi tempatan seperti Malaysia Airlines, Japan Airlines, China Eastern, Jet Airways dan Cathay Pacific.

Qantas berkata penambahbaikan kepada perkhidmatannya di Asia akan bermula pada 31 Mac, dalam empat fasa.

Ketua Eksekutif Qantas International, Simon Hickey berkata perubahan berkenaan bermakna perkhidmatan Qantas ke Asia tidak lagi terikat kepada sambungan ke Eropah.

Mulai 31 Mac, Qantas akan meningkatkan kapasiti bagi penerbangan ke Hong Kong dan Singapura, masing-masing antara 10 hingga 40 peratus.

Pelanggan juga akan dapat ke Kuala Lumpur dengan gabungan rangkaian Qantas-Emirates.