KUALA LUMPUR: Maxis Bhd melantik Tan Sri Mokhzani Mahathir sebagai pengerusi baharunya bagi menggantikan Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda susulan keputusan beliau untuk meletakkan jawatan berkuatkuasa 22 April 2021.

Arshad telah berkhidmat sebagai pengerusi Maxis sejak ia disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2009, demikian menurut syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Ketika ini, Mokhzani adalah Pengarah Bebas Kanan Lembaga Maxis.

Sementara itu, Arshad akan meneruskan perkhidmatannya sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Maxis.

"Menjadi satu keistimewaan dan penghormatan untuk berkhidmat sebagai pengerusi Maxis selama 11 tahun, bekerja bersama-sama ahli lembaga yang lain untuk membimbing syarikat dalam transformasinya yang luar biasa daripada penggiat mudah alih terkemuka kepada penyedia penyelesaian konvergen utama di negara ini.

"Saya berbangga dengan apa yang telah kami capai dan bagaimana kami terus berkhidmat kepada pelanggan dan pihak berkepentingan dalam persekitaran digital yang berkembang pesat. Setinggi-tinggi penghargaan kepada lembaga, pengurusan dan pekerja Maxis yang mana saya mendapat sokongan hebat daripada mereka," katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk beliau melepaskan peranan pengerusi itu kepada ahli lembaga yang lebih muda.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Mokhzani atas pelantikan ini. Beliau mempunyai pengalaman luas sebagai pemimpin korporat dan usahawan dan memiliki banyak pengetahuan mengenai industri telekomunikasi, menganggotai lembaga selama beberapa tahun dan beberapa jawatankuasa lembaga.

"Saya yakin dengan sokongan dan komitmen berterusan daripada setiap individu di Maxis, syarikat ini akan berkembang menjadi lebih berjaya di bawah kepimpinan beliau," kata Arshad.

Ketika ini, Mokhzani mempengerusikan Jawatankuasa Audit dan Risiko Maxis dan anggota Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan serta Jawatankuasa Hal Ehwal Kerajaan dan Kawal Selia.

Beliau akan melepaskan peranannya sebagai Pengarah Bebas Kanan dan Pengerusi Jawatankuasa Audit dan Risiko selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Maxis pada 22 April ini.

Sebanyak 62 peratus daripada kepentingan Maxis Berhad dipegang secara tidak langsung oleh Binariang GSM Sdn Bhd, yang mana Saudi Telekom Company mempunyai kepentingan sebanyak 25 peratus manakala baki 75 peratus lagi dimiliki Harapan Nusantara Sdn Bhd, Usaha Tegas Sdn Bhd dan gabungannya.

-- BERNAMA