KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh tidak langsung Ranhill Utilities Bhd, Ranhill Water Services Sdn Bhd (RWS), memperoleh kontrak dua tahun bernilai RM156.76 juta untuk mengurangkan air tanpa hasil (NRW) di Johor.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, ia berkata projek itu dianugerahkan oleh Ranhill SAJ Sdn Bhd, anak syarikat 80 peratus milik Ranhill, melalui proses tender terbuka.

Kumpulan itu berkata, kontrak bermula serta-merta pada Januari 2022, dan dijangka siap menjelang 31 Disember 2023.

"Ini adalah projek NRW keenam berturut-turut di Johor yang diperoleh RWS melalui proses tender terbuka sejak 2011.

"RWS melaksanakan projek NRW di Johor secara holistik sejak penubuhannya pada 2005, dan mengurangkan NRW di Johor daripada lebih 37 peratus pada 2005 kepada 24.88 peratus pada 30 November 2021," kata kumpulan itu.

Ia menambah, selain Johor, RWS memperoleh projek mengurangkan NRW melalui proses pembidaan yang kompetitif di Melaka, Kedah, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Pahang.

* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com