KUALA LUMPUR:Gelembung Perjalanan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) Malaysia-Indonesia akan menggalakkan kerjasama antara negara-negara Persatuan Pameran dan Konvensyen Persekutuan Asia (AFECA) untuk memanfaatkan inisiatif Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Presiden AFECA Datuk Vincent Lim berkata langkah itu turut memberi isyarat bahawa terdapat banyak kemungkinan untuk acara perniagaan (BE) dan aktiviti perniagaan pada masa depan.

"Inisiatif ini tepat pada masanya berikutan sektor industri BE bersedia untuk pelan pemulihan yang diterajui oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)," katanya dalam kenyataan.

Lim berkata BE merupakan sektor ekonomi yang penting di bawah bidang kuasa kementerian dan AFECA berharap kepada hasil yang positif untuk pemulihan BE berikutan ia mengalu-alukan pelancong perniagaan ke Malaysia, walaupun mematuhi protokol dan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ketat dirangka oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

Beliau berkata pada masa ini, pendekatan langkah demi langkah adalah penting dengan dibuka kepada pelancong perniagaan dahulu yang akan dipantau dan disokong oleh badan yang berkaitan.

Semua pihak berkepentingan industri BE bersedia untuk berkongsi maklum balas dan mematuhi sepenuhnya arahan kerajaan Malaysia, berikutan keselamatan dan kesejahteraan semua menjadi keutamaan.

Pada 2019, sebanyak 1,025 acara perniagaan telah dianjurkan dan menarik lebih 540,000 pelancong perniagaan antarabangsa ke Malaysia untuk tujuan menghadiri mesyuarat, konvensyen dan pameran.

Sektor BE (atau MICE - mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran) memainkan peranan yang penting dalam menjana semula seluruh ekonomi.

"Dengan pelan dan komitmen daripada kerajaan, kami berharap kepada pemulihan dan pembangunan semula industri BE untuk negara dengan segera," kata Lim.

-- BERNAMA