Zelenskyy bertemu PM Kanada, terima bantuan tambahan AS$1.83 bilion

Presiden Zelenskyy (kanan) bertemu Perdana Menteri Carney, di Halifax pada Sabtu menjelang pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. - Gambar Reuters.
HALIFAX: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy bertemu Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, di Halifax pada Sabtu menjelang pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Dalam kenyataan ringkas bersama Zelensyy, Carney mengumumkan bantuan ekonomi tambahan sebanyak AS$1.83 bilion (RM7.4 bilion) kepada Ukraine.
Tambah Carney, serangan ke atas Kyiv yang berlaku semalam menunjukkan betapa pentingnya Kanada berdiri bersama Ukraine pada waktu sukar ini.
Selepas pertemuan itu, Zelenskyy mengadakan perbincangan dengan pemimpin Eropah yang mana Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, dalam hantaran di X menyatakan, pihaknya mengalu-alukan segala usaha ke arah matlamat bersama iaitu mewujudkan keamanan yang adil dan berkekalan.
Dalam pada itu, Zelenskyy memaklumkan, beliau akan mengadakan rundingan semula dengan pemimpin Eropah selepas pertemuan dengan Trump pada Ahad, ketika Kyiv berusaha memperkukuh kedudukan bagi menghalang Rusia daripada melanjutkan perang.
Isu wilayah dan masa depan loji nuklear Zaporizhzhia yang diduduki Rusia kekal sebagai halangan utama diplomatik.
Zelenskyy sebelum ini memberitahu wartawan di Kyiv bahawa draf dokumen 20 perkara merupakan tonggak usaha Amerika untuk memuktamadkan perjanjian damai yang kini siap 90 peratus. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


