KUALA LUMPUR: Richworks International Sdn Bhd (Richworks) berjaya membimbing seramai 1,885 usahawan dengan rekod jualan terkumpul sebanyak RM3.7 bilion sepanjang tempoh tahun lalu.

Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM3.21 bilion jualan dihasilkan oleh usahawan yang dibimbing melalui program eksklusif Titanium manakala usahawan-usahawan program Spire dan Elite-X masing-masing merekodkan jualan RM495 juta dan RM46.9 juta.

“Usahawan yang dibimbing secara intensif melalui program Titanium merekodkan jualan RM2.27 bilion pada 2020 berbanding hanya RM901 juta pada 2019.

"Peningkatan jualan usahawan Titanium dari 2020 ke 2021 adalah sebanyak 41 peratus.

“Kesemua jualan Titanium sepanjang 2021 membabitkan 312 usahawan bersamaan 268 perniagaan.

"Daripada jumlah itu, 85 peratus atau 227 perniagaan usahawan Titanium merekodkan peningkatan jualan berbanding tahun sebelumnya,” kata Radz.

Mentoring Richworks | 1,885 usahawan rekod jualan terkumpul RM3.7 bilion

Untuk rekod, seramai 77 usahawan Titanium merekodkan jualan lebih RM10 juta, jualan RM50 juta (lima usahawan) dan jualan lebih RM100 juta (lima usahawan).

Sebagai menghargai pencapaian luar biasa itu, kata Radz, RichWorks meraikan 184 usahawan membabitkan 141 perniagaan dalam program RichWorks Titanium Gala Awards di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin.

Pengarah Urusan Eskayvie Sdn. Bhd., Kartika Wati Mohamed menerima anugerah Titanium Grandeur menerusi peningkatan jualan cemerlang direkodkan pada tahun lalu.

Sementara itu, Pengasas Richworks Datuk Azizan Osman dalam ucapannya ketika majlis berkata, angka-angka pencapaian usahawan Titanium itu membuktikan pandemik, krisis, bencana, malapetaka merupakan cabaran banyak manusia hadapi yang boleh didepani dengan mencari jalan penyelesaian.

“RichWorks banyak menganjurkan program percuma (sejak awal pandemik pada 2020) hampir setiap hari dan setiap minggu ada program percuma, sebab saya tahu ramai orang sangat takut, masih keliru, risau dan hilang arah tuju ketika itu.

“Keutamaan saya tetap kepada Titan (usahawan Titanium).

"RichWorks dari hari pertama lagi PKP dikuatkuasakan, berhubung dengan semua Titan dan students Mentorship kami untuk kenal pasti situasi mereka dan apa tindakan yang perlu diambil untuk bantu dan bimbing mereka dalam krisis,” jelasnya.

Dalam majlis yang sama, Azizan turut melancarkan buku Bangkit Bisnes Dari Krisis yang dihasilkan daripada analisis RichWorks terhadap bisnes yang berhadapan krisis pandemik tetapi berjaya bangkit.

“Buku ini amat istimewa dan dekat di hati saya kerana segala catatan dalam naskhah ini, bumbu dan inti patinya disaring daripada perkongsian saya yang terdahulu sepanjang PKP hingga kini.

“Tidak terkecuali kepada bakal usahawan-usahawan muda yang baru bertunas, segala tip, bimbingan, rahsia perniagaan berjaya yang dikongsi melalui buku ini adalah khusus untuk anda,” katanya.