Mata wang ringgit bergerak ke arah trend penurunan terbesar berbanding dengan dollar Amerika sejak krisis kewangan Asia 1997-1998 hari ini.

Ia berikutan kebimbangan berterusan terhadap penyusutan pendapatan negara pengeksport minyak.

Ringgit menyusut sebanyak 1.3 peratus kepada 3.4250 berbanding satu dolar Amerika pada jam 10.38 pagi Isnin.

Menurut data yang dikumpul Bloomberg, nilai ringgit merosot sebanyak 2.3 peratus dalam tempoh dua hari, penurunan terbesar sejak Jun 1998, sebelum Malaysia mengamalkan tambatan ringgit yang kekal sehingga 2005.

Harga minyak mentah Brent susut 2.3 peratus pada Isnin, paras terendah dalam tempoh hampir lima tahun selepas OPEC (Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum) membuat keputusan untuk tidak mengurangkan pengeluaran bagi tujuan menaikkan harga.

Pakar Strategi Commonwealth Bank of Australia yang berpangkalan di Singapura, Andy Ji berkata, Malaysia merupakan negara Asia yang paling terjejas akibat penurunan harga minyak.

"Ringgit pula dijangka boleh menyusut sehingga 3.45 pada minggu ini," katanya.

Kehilangan potensi pendapatan bakal menyukarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengurangkan defisit fiskal kepada tiga peratus pada tahun 2015 daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 3.5 peratus tahun ini.