KUALA LUMPUR: Ringgit terus mencatatkan aliran penurunan untuk dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan harga minyak merosot dan selepas bank pusat Amerika Syarikat (AS) mengumumkan kenaikan kadar faedah yang tinggi.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.5665/5700 berbanding dolar AS daripada 4.5520/5550 semalam.

Harga penanda aras minyak mentah Brent susut 0.50 peratus kepada US$89.38 setong.

Harga minyak terus merosot pada Khamis selepas Rizab Persekutuan (Fed) AS menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas kepada julat 3.00 hingga 3.25 peratus - paras tertinggi sejak 2008.

"Harga minyak telah pun berada pada aliran penurunan menjelang mesyuarat (Fed) dan terus merosot selepas pengumuman kenaikan kadar berikutan kadar faedah yang tinggi akan membawa kepada dolar yang lebih kukuh," kata peniaga.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1622/1650 daripada 3.1633/1656 semalam dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2168/2197 daripada 3.2217/2243 sebelum ini.

Unit tempatan meningkat berbanding pound kepada 5.1277/1317 daripada 5.1629/1663 pada Rabu dan naik berbanding euro kepada 4.4825/4859 daripada 4.5197/5227 sebelum ini.

-- BERNAMA