KUALA LUMPUR: Nilai ringgit terus lemah berbanding dolar AS pagi ini berikutan kebimbangan pasaran mengenai inflasi Amerika Syarikat yang akan menentukan langkah seterusnya Rizab Persekutuan.

Pada 9.28 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.4930/4980 berbanding dolar AS daripada penutupan Selasa pada paras 4.4850/4895.

Beliau berkata Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi teras telah meningkat berbanding jangkaan pada Januari kepada 4.7 peratus berbanding unjuran pasaran sebanyak 4.3 peratus.

"Ini telah memberikan kekuatan selanjutnya kepada indeks dolar AS yang kini berlegar melebihi 105 mata.

"Paras rintangan gandingan dolar-ringgit adalah sekitar RM4.52 pada masa ini. Ia mungkin berlarutan di sekitar paras itu dalam tempoh terdekat berikutan pendirian Rizab Persekutuan yang lebih cenderung kepada menaikkan kadar faedah," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.7513/7566 daripada 4.7572/7620 semalam, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4028/4088 daripada 5.4152/4206, tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 3.2954/2993 daripada 3.2799/2835.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.3304/3343 daripada 3.3247/3285 pada Selasa, jatuh berbanding baht Thailand kepada 12.7494/7693 daripada 12.6892/7073, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 294.30/294.80 daripada 293.80/294.30 dan lebih rendah berbanding peso Filipina kepada 8.13/8.15 daripada 8.10/8.12 sebelumnya.

-- BERNAMA